SERI KEMBANGAN - Rata-rata kakitangan beberapa buah syarikat pembinaan yang terlibat dengan projek MRT di kawasan Dataran Mutiara, di sini runsing selepas hampir sebulan kawasan tempat letak kereta aras bawah (basemen) di situ ditutup tanpa sebab yang kukuh.
Difahamkan penutupan dibuat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sehari selepas insiden banjir yang menyebabkan kawasan basemen di situ dinaiki air pada 2 April lalu.
Seorang kakitangan di situ, Rabiatul Adawiyah Azhar, 31, berkata, selepas air di kawasan parkir basemen surut, pengadang konkrit yang diletakkan MPSJ di bahagian pintu masuk dan keluar basemen masih tidak dialihkan.
Menurutnya, dia dan rakan-rakan sekerja berasa hairan kerana kawasan basemen sudah kering tetapi ia masih ditutup sehingga kini dan menyebabkan mereka tiada tempat meletakkan kenderaan.
Katanya, dia termasuk kakitangan lain terpaksa meletakkan kenderaan secara berkembar, parkir di tepi jalan utama, parkir di laluan belakang serta di kawasan sekitar yang agak jauh.
"Memang teruk bila tak ada tempat parkir kereta... Lebih memeningkan, apabila MPSJ dan polis trafik saman, sedangkan kami tak ada tempat untuk parkir bukan saja-saja parkir di tempat yang tak dibenarkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, dia sudah membuat aduan kepada MPSJ pada 17 April lalu, bertanyakan sebab penutupan parkir serta saman yang dikeluarkan namun tidak mendapat maklum balas yang memuaskan.
"Minggu lepas, saya hubungi MPSJ lagi untuk 'follow up' dan ada pegawai dari jabatan kejuruteraan maklumkan penutupan parkir basemen dibuat kerana pihaknya tidak mahu berlaku kerosakan harta benda, selain pemaju didakwa tidak menyediakan sistem saliran yang baik.
"Saya dimaklumkan juga, bangunan di Dataran Mutiara ini sepatutnya diserahkan kepada MPSJ tetapi disebabkan terdapat kriteria yang gagal dipenuhi oleh pemaju, proses itu tertangguh. Antara kriteria itu adalah berkaitan masalah sistem saliran di basemen tersebut," katanya.
Katanya, dia dan kakitangan lain akan bekerja di kawasan tersebut untuk tempoh yang lama sehingga projek MRT selesai.
"Kami tak larat nak berdepan masalah parkir ni untuk beberapa tahun lagi... sebulan ini pun sudah terlalu lama dan menyukarkan," katanya berharap ada penyelesaian terbaik dan segera daripada pihak MPSJ, pemaju dan juga ADUN kawasan.
Sementara itu, seorang lagi kakitangan, Salwa Farhana Kamaruddin, 25, berkata, penutupan parkir basemen yang terlalu lama juga dilihat mendatangkan masalah lain yang lebih teruk.
Menurutnya, kawasan basemen tersebut tidak dibersihkan dan dipenuhi dengan lumpur dan sampah akibat banjir yang berlaku.
"Memang kotor dan ia kini mengancam kesihatan kami sebab dah jadi tempat pembiakan nyamuk.
"Malah ada beberapa kakitangan di sini yang masuk hospital kerana denggi, ada juga yang terlibat kemalangan gara-gara terpaksa parkir di tepi jalan utama," katanya tidak menolak kemungkinan basemen itu menjadi tempat haiwan berbisa jika terus dibiarkan tanpa diselenggara.
Salwa Farhana berkata, pada masa yang sama, dia berharap pemaju atau pihak terlibat dapat menyelesaikan juga masalah sistem saliran di basemen yang berlarutan hampir dua tahun.
Katanya, longkang yang terdapat di basemen kecil serta cetek, malah tiada tempat khas untuk air disalurkan keluar dan ia menjadi punca air bertakung sekali gus banjir.
"Isu banjir ni bukan kali pertama tapi sejak 2017 lagi..Cuma banjir kali ini agak teruk berbanding sebelum ini.
"Sebelum ini, lepas seminggu air akan surut dan kami boleh parkir seperti biasa tapi kali ini, walaupun parkir dah kering ia ditutup terus,"katanya memberitahu lebih lima kali banjir berlaku di basemen terbabit bagi tempoh setakat April tahun ini.
Sementara itu, Sinar Harian dalam proses mendapatkan maklum balas daripada MPSJ dan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkenaan isu tersebut.