PENGUMUMAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai pelantikan Ketua Polis Negara dan Timbalannya menarik perhatian ramai termasuk Merak Jalanan sendiri.
Tan Sri Razarudin Husain diumumkan sebagai Ketua Polis Negara, sementara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara, sekali gus menamatkan spekulasi siapa bakal mengisi kekosongan jawatan ditinggalkan oleh Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Pelantikan Razarudin memang amat tepat dan sudah dijangka kerana ketokohan serta kecemerlangan beliau menjadi timbalan kepada Ketua Polis Negara sebelum ini yang tidak boleh disangkal lagi.
Cuma kali ini Merak Jalanan lihat agak unik kerana biasanya orang ramai akan bercerita mengenai lantikan Ketua Polis Negara tetapi nampaknya aura dan populariti Ayob Khan turut mencuri tumpuan.
Mungkin kerana beliau sebelum ini begitu dekat dengan masyarakat. Malah, ada portal berita yang menulis ‘Ayob Khan di laluan pantas jadi IGP’. Nampaknya ramai yang merestui pelantikan beliau untuk jawatan No. 2 itu.
Ayob Khan pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Polis Johor pada 2020 dan kemudian pada 2022, beliau kembali ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah.
Bagi Merak Jalanan, tak kisahlah siapa pun yang dilantik untuk dua jawatan tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu asalkan mampu menjalankan tugas dengan amanah dan berani menegakkan kebenaran.
Gandingan Razarudin dan Ayob Khan bolehlah diibaratkan seperti ‘Super Cop Malaysia’. Mereka memikul tanggungjawab dan amanah berat untuk membawa institusi polis berusia 216 tahun itu ke tahap lebih tinggi.
Semoga mereka dapat membawa arus perubahan segar dan pembaharuan kepada PDRM. Tahniah dan selamat menjalankan tugas!