SHAH ALAM - Pakar ekonomi menegaskan setiap kenyataan yang dibuat oleh pemimpin negara akan mempengaruhi keputusan pelabur sama ada untuk meneruskan pelaburan atau sebaliknya.
Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, perkara pertama yang diteliti oleh pelabur adalah kestabilan politik.
Katanya, sebarang kenyataan daripada kerajaan sedikit sebanyak akan mempengaruhi keputusan individu atau syarikat yang menanam modal di negara ini.
"Setelah mengetahui penjelasan tersebut, pelabur mungkin akan membuat kata putus sama ada ia memberi kebaikan kepada negara atau sebaliknya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada 21 Jun, Sinar Harian melaporkan, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa semakin banyak Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan mengeluarkan kenyataan berkaitan ekonomi maka ia akan merudum dengan begitu pantas.
Katanya, tindakan Ahmad berbicara soal ekonomi seolah-olah ada pengumuman besar untuk memastikan nilai ringgit lebih kukuh.
Pada masa sama, Aimi Zulhazmi memberitahu, terdapat dua kaedah yang boleh mengukuhkan kembali nilai ringgit di pasaran dunia antaranya menarik Sovereign Wealth Fund (SWF) untuk melabur di Malaysia.
Jelas beliau, antara platform yang boleh pelabur melabur adalah di bursa saham, melalui modal teroka (venture capital) dan permulaan perniagaan (startup) lebih terarah kepada ekonomi digital serta pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi.
"Kebaikannya apabila menarik SWF asing, ia secara tidak langsung akan meningkatkan pelaburan daripada luar negara masuk ke dalam negara.
"Hal tersebut sekali gus mengurangkan beban kewangan kerajaan dalam membina ekonomi negara terutamanya dalam menangani risiko tinggi berkaitan dengan startup,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, SWF mempunyai operasi kelolaan pelaburan yang lebih ketat, namun ia lebih stabil dan mempunyai sasaran dalam jangka masa panjang.
Sementara itu, Aimi Zulhazmi memaklumkan kaedah seterusnya adalah melalui family office (pejabat keluarga) yang mana merupakan syarikat persendirian dalam mengendalikan pengurusan pelaburan dan kekayaan untuk keluarga kaya.
Katanya, dana persendirian yang dimiliki bersifat terbuka dan ia dilaburkan dalam perusahaan yang mempunyai risiko tinggi kerana dana pengurusan adalah fleksibel.
Pada masa sama, beliau berkata, kemasukan pelaburan asing melalui SWF dan family office adalah sesuatu yang baik untuk negara tetapi perlu dipantau dan dibantu oleh Suruhanjaya Sekuriti dan juga Bank Negara Malaysia.