Meta berdepan tindakan undang-undang

Iklan
Syarikat induk Facebook, Meta berdepan tindakan perundangan di negara ini susulan didakwa gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan di platform mereka. - Foto 123RF

PUTRAJAYA - Syarikat induk Facebook, Meta berdepan dengan tindakan perundangan di negara ini susulan didakwa gagal mengambil tindakan sewajarnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan di platform mereka.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi kenyataan memaklumkan, Meta juga tidak bekerjasama sepenuhnya dalam menurunkan kandungan membabitkan elemen kaum, institusi diraja dan agama (3R), penyamaran, judi dalam talian serta penipuan.

Iklan
Iklan

"Platform Facebook sejak akhir-akhir ini telah dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan," kata suruhanjaya itu pada Jumaat.

Menurut SKMM, Meta telah dihubungi pihaknya berulang kali untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan daripada platform mereka namun gagal mengambil tindakan secukupnya.

Iklan

"Maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam," katanya.

Ujar SKMM, langkah definitif itu bagi memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital.

Iklan

"Tindakan berkenaan adalah perlu dalam menyemaikan kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan termasuk juga aktiviti penipuan," kata SKMM.

Tegas SKMM, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalah guna platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan, untuk aktiviti siber berniat jahat, phishing, ataupun sebarang kandungan yang menganggu gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja.