Covid-19: KKM umum status peralihan endemik lepas bentang SOP minggu depan

Iklan
Dr Zaliha - Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengumumkan status peralihan fasa endemik Covid-19 sebaik sahaja membentangkan saranan dan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan baharu kepada jemaah menteri, minggu depan.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, SOP baharu tersebut mengambil kira beberapa penilaian termasuk bilangan jangkitan kes Covid-19, saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta situasi semasa Covid-19 di peringkat antarabangsa.

Iklan
Iklan

"Selepas itu kita akan umumkan (peralihan)," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KKM di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, KKM melanjutkan Kawasan Tempatan Jangkitan yang tamat pada 31 Disember tahun lalu kepada 30 Jun ini.

Iklan

Lanjutan itu bagi memudah cara aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19 menggunakan peruntukan di bawah P.U. (A) 83/22.

Pada Rabu, Presiden Indonesia Joko Widodo mengumumkan negara itu secara rasmi menamatkan status pandemik Covid-19 sebagai reaksi kepada kenyataan WHO yang telah mengisytiharkan berakhirnya tindakan kecemasan kesihatan awam terhadap virus itu.

Iklan

Covid-19 tidak lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global oleh WHO bermula 5 Mei yang lalu.

Ia sekali gus menjadi langkah besar menuju pengakhiran wabak pandemik yang sudah membunuh lebih 6.9 juta orang selain mengancam ekonomi dan komuniti sejagat

Malaysia merekodkan kes positif pertama Covid-19 pada 25 Januari 2020 melibatkan tiga rakyat China yang memasuki negara ini dari Singapura manakala kes pertama membabitkan rakyat tempatan dilapor pada 4 Februari tahun sama.

Setakat 17 Jun lalu, sebanyak 5,112,019 kes positif Covid-19 termasuk kes import dilaporkan di seluruh negara membabitkan 37,118 kematian.

Sementara itu, mengulas mengenai SOP kesihatan menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi, Dr Zaliha berkata, ia bergantung kepada pengumuman status peralihan endemik.

"Ia bergantung kepada SOP baharu nanti, insya-ALLAH kita tunggu," katanya.

Pada perkembangan sama, sebanyak 42 hospital kluster telah berjaya dibentuk melibatkan 146 daripada 149 buah hospital di seluruh negara.

Beliau berkata, dengan sedekad pelaksanaan inisiatif hospital kluster, waktu menunggu mendapatkan perkhidmatan rawatan telah ditambah baik selain penjimatan melalui pembelian secara pukal juga dapat dilaksanakan.