Jelajah enam negeri, Anwar takut 'tsunami' PN - Mohd Amar

Iklan
Mohd Amar pada Program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada malam Khamis.

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang menjelajah ke semua enam negeri yang terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) melambangkan ketakutan Kerajaan Perpaduan terhadap 'tsunami' Perikatan Nasional (PN) yang semakin terserlah.

Jelas Mohd Amar, ini kerana kemenangan PN boleh menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan selepas PRN nanti.

Iklan
Iklan

"Saya yakin landskap politik negara pada masa akan datang berubah jika PN menang semua enam negeri itu dan ia menjadi tuntutan ketidakpercayaan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan.

"Inilah yang amat ditakuti oleh kerajaan hari ini. Sebab itulah beliau (Perdana Menteri) turun ke semua negeri (PRN) dan ia memberi petanda kebimbangan serta ketakutan mereka dengan perkembangan yang berlaku ketika ini," katanya semasa bercakap pada Program Sembang Santai Bersama Tan Sri Noh Omar sempena Karnival Kelantan Maju Rakyat Sejahtera di Dataran Warisan, Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam Khamis.

Iklan

Oleh yang demikian, Mohd Amar berkata, PN perlu mempertahankan tiga negeri sedia ada iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah serta dalam masa sama merampas Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan.

Ujarnya, jika PN hanya mampu mempertahankan tiga negeri sedia ada situasi tersebut akan memberi kelebihan dan kemenangan moral kepada PH.

Iklan