SHAH ALAM - Orang ramai gusar kes kemalangan melawan arus terus meningkat sekiranya tiada langkah pencegahan diambil segera.
Jurulatih Komunikasi, Nor Azzura Azizul Azman, 39, berkata, sikap pemandu yang melawan arus adalah sangat mementingkan diri kerana tidak memikirkan keselamatan dan nyawa orang lain.
"Tak tahulah kenapa pemandu lawan arus bertindak sedemikian, nak cepat atau nak jalan pintas?
"Sikap sebegini memang tidak boleh diterima dan tindakan undang-undang yang dikenakan perlu setimpal dengan apa yang sudah mereka lakukan.
"Pemandu ini sepatutnya dibawa ke muka pengadilan, kalau boleh dedahkan nama dan wajah pelaku kerana melawan arus dalam pemanduan adalah perbuatan yang amat bahaya kerana melibatkan nyawa,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Menurut Pensyarah Sambilan, Nazim Abdul Rahim, 51, kes sedemikian sudah banyak berlaku tapi masih tiada tindakan atau usaha untuk mencegahnya oleh pihak yang berwajib.
"Langkah pencegahan boleh diambil dengan memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi ‘panas’ atau lebuh raya kerana kebanyakan kes ini berlaku di kawasan ini.
"Pihak lebuh raya boleh memasang alat pengesan dua hala, di mana ia akan berbunyi atau memberi amaran kepada pelaku dan pemandu lain jika ada kenderaan yang melawan arus ketika itu.
"Hukuman dan penguatkuasaan undang-undang saja tiada guna jika tiada langkah pencegahan awal diambil,” ujarnya.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 37 kes kemalangan maut akibat kesalahan pemanduan lawan arus direkodkan sepanjang tahun ini sehingga Jun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkat,a jumlah kemalangan direkodkan akibat melawan arus bagi tempoh yang sama pula ialah 1,350 kes.
"Jumlah pengguna jalan raya yang maut adalah sebanyak 37 kes, cedera parah (13 kes), kerosakan ringan pada kenderaan (99 kes) dan kerosakan keseluruhan (1201 kes),” katanya.
Dalam pada itu, Penolong Pegawai Veterinar, Mohd Firdaus Nizamuddin, 36, turut berpendapat, sikap tidak acuh segelintir pengguna jalan raya yang pentingkan diri patut dikenakan hukuman berat.
Mohd Firdaus mengharapkan dengan tindakan tersebut, masyarakat boleh mengambil iktibar dan masing-masing dapat menjaga keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain demi memastikan lalu lintas selamat.