JAMES CAMERON yang juga pengarah filem Titanic tidak ketinggalan terkesan dengan berita kehilangan kapal selam Titan di Laut Atlantik sehingga mengorbankan nyawa lima penumpang.
Sutradara yang pernah menyentuh emosi sejumlah besar pencinta filem di seluruh dunia menerusi naskhah mega itu pada 1997 berkata kepada agensi berita BBC, kehilangan Titan dirasakan beliau sehingga ke tulangnya.
Masakan tidak perasaan tersebut menyelubungi Cameron kerana ketika mahu merealisasikan filem box-office itu, beliau telah melakukan 33 kali selaman ke lokasi Titanic karam.
Ahad lalu Cameron berada di sebuah kapal ketika Titan dilaporkan gagal dikesan dan sejak dari detik itu, beliau langsung tidak mendengar khabar terbaharu berhubung kejadian itu sehinggalah keesokan harinya tersiar berita di media massa.
Sebaik mengetahui kapal selam itu kehilangan sistem pemanduan dan komunikasi secara serentak, beliau serta-merta menduga terjadinya bencana.
"Saya dapat merasakan hingga ke dalam tulang apa yang telah berlaku. Kegagalan sistem elektronik dan komunikasi dan pengesan jejaknya gagal serentak - kapal selam itu hilang."
Tidak menunggu lama, Cameron segera menghubungi beberapa kenalannya yang juga pakar dalam komuniti kapal selam dan laut dalam bagi mendapatkan pandangan.
"Dalam tempoh masa sekitar sejam saya memperoleh fakta-fakta berikut. Mereka (kapal selam Titan) sedang turun. Mereka berada di kedalaman 3,500 meter dan menuju ke dasar pada kedalaman 3,800 meter.
"Komunikasi mereka terputus dan navigasi hilang... dan saya segera berkata, anda tidak boleh kehilangan komunikasi dan navigasi secara serentak tanpa bencana yang dahsyat atau peristiwa bencana yang sangat energetik. Dan yang pertama terlintas dalam fikiran saya ketika itu ialah letupan," ujar beliau lagi.
Pada Khamis, seorang pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat memberitahu CBS News, pasukan keselamatan itu mengesan berlaku sesuatu yang aneh sebaik Titan terputus hubungan dengan pusat kawalan.
Cameron juga memberitahu BBC News pada minggu lepas:"Terasa seperti sandiwara yang berpanjangan dan menakutkan apabila orang ramai berbicara mengenai bunyi bising dan berbincang mengenai oksigen dan perkara-perkara lain".
"Saya tahu bahawa kapal selam itu berada tepat di bawah kedalaman dan posisi terakhir yang diketahui. Di situ Itulah di mana mereka menemukannya," katanya.
Ujar Cameron, sebaik jentera kawalan jauh dihantar untuk mengesan Titan pada hari Khamis, anggota pencari sudah ‘menemukannya dalam masa beberapa jam atau mungkin dalam masa beberapa minit'. - Agensi
ARTIKEL BERKAITAN:Kapal selam meletup berhampiran Titanic, semua penumpang maut
Kapal induk Titan dakwa operasinya 'sangat selamat'
Kapal selam Titan hilang: 'Bunyi di bawah permukaan air' dikesan
Kapal selam saksikan bangkai Titanic hilang, jutawan British antara mangsa
Kapal selam ekspedisi Titanic hilang: Bekalan oksigen berbaki 40 jam