GOPENG - Dua hari lagi umat Islam bakal menyambut Ramadan, pastinya keluarga Mohammad Ashraf Hassan, 29, merinduinya.
Kehilangan Mohammad Ashraf atau lebih dikenali Acap memasuki hari yang ke 40, hari ini.
Tiada lagi khabar berita termasuk petunjuk baharu kehilangan juruteknologi makmal, Klinik Kesihatan Muar yang sehingga kini menjadi misteri.
Abangnya, Mohd Zahiruddin, 35, yang tidak pernah kenal erti putus asa telah memuat naik status baharu di Instagram berhubung kehilangan adiknya itu.
Katanya, tidak akan sesekali meninggalkan Acap yang juga bapa kepada seorang bayi berusia setahun setengah.
"Abang masih terus cari kamu adik, abang tidak pernah tinggal kamu," luahnya.
Dalam pencarian hari ke 36, Mohd Zahiruddin, telah menemukan beberapa tulang haiwan serta tapak kaki ukuran luar biasa.
"Tarikh 28 April, operasi SAR di gua, menemukan pokok cili di tengah hutan, tulang (haiwan), tapak kaki ukuran luar biasa (haiwan?), batu," catatan dientrinya.
Penularan catatan ringkas itu nyata menyentuh hati para netizen yang terkesan dengan sikap tidak berputus asa Mohd Zahiruddin walaupun dihujani dengan pelbagai kontroversi sebelum ini.
Seorang netizen, Amirulza, berkata,"Jangan katakan abangnya sendiri tidak akan tinggalkan Acap, kami juga tidak akan berganjak untuk tinggalkan Acap. Kami di sini hanya mampu mengirimkan doa kami untuk memudahkan pencarian Acap setiap hari".
Sementara itu, Fatihahzulkafli turut setia menantikan maklumat terbaharu Acap daripada misi pencarian selama ini.
"Ada apa-apa perkembangan? Manalah Acap ini, sudah hendak puasa, di mana la dia berada," katanya.
Selain itu, Deensaid dan Raudahjenal juga mendoakan agar Acap ditemukan sebelum Ramadan dan berharap keluarganya cekal menghadapi dugaan.
Untuk rekod, Acap hilang ketika menyertai larian Gopeng Ultra Trail (GUT), Mac lalu sebelum operasi pencarian dilancarkan namun tidak menemui sebarang petunjuk lokasi mangsa berada.
Operasi pencariannya turut dihentikan pada 30 Mac lalu setelah lebih 700 pasukan SAR serta orang awam terlibat dalam pencarian membabitkan kawasan seluas 35km persegi meliputi kawasan Bukit Batu Putih hingga Plaza Tol Gopeng.
ARTKEL BERKAITAN: Operasi cari Acap dihentikan