KUALA LUMPUR – Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) di sebuah syarikat pengurusan acara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menipu berhubung penganjuran festival Hooray X Fest Raya, dua bulan lalu.
Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, yang hadir ke mahkamah dengan berkemeja putih membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Marisqa Khalizan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Siti Wardina Basir, 21, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan penyewaan tapak festival itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Ia mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500 sedangkan dia tidak akan bertindak sedemikian, jika tidak diperdayakan, di WTCKL pada jam 2.34 pagi pada 19 April lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebat serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noraisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Zamri Idrus yang mewakili tertuduh memohon kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya menghadap penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Marisqa membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Julai depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, pihak polis telah menahan lima individu bagi membantu siasatan berhubung pembatalan festival beli-belah Syawal, Hooray X Fest Raya pada saat-saat akhir.
Karnival sempena Aidilfitri yang sepatutnya bermula 19 April sehingga 21 April lalu di WTCKL dibatalkan selepas penaja utama menarik diri.
Bagaimanapun, menerusi satu kenyataan yang dibuat oleh Pengurus Hal Ehwal Awam WTCKL, pihaknya memohon maaf di atas segala kesulitan dan menyatakan pihaknya tidak bertanggungjawab di atas sebarang bentuk kerugian.
Pada 25 April lalu, empat individu termasuk pelakon, Boy Iman atau nama sebenarnya, Norul Iman Abdul Rahman, 43, didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan kes sama.