HULU LANGAT - Perolehan projek kecil dilakukan secara undian dan terbuka dapat meningkatkan ketelusan proses pemilihan kontraktor selain memastikan penyampaian perkhidmatan lebih terus dan berkualiti.
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir Mohd Zawawi Zakaria, pendekatan itu juga membuka peluang kontraktor baharu untuk menimba pengalaman sebelum dapat melaksanakan projek lebih kompleks.
"Dari segi pengalaman mungkin bukan satu elemen yang penting maknanya kita memberi ruang kepada kontraktor baharu, kontraktor G1 untuk dapatkan pengalaman sebelum melaksanakan kerja-kerja yang lebih kompleks.
"Kalau dah masuk (perolehan kerja) yang sebut harga, tender, yang itu mungkin spesifikasi atau kerja-kerja lebih kompleks berbanding kerja-kerja undi yang dilaksanakan pada hari ini," katanya kepada pemberita pada Jumaat
Beliau sebelum itu merasmikan Program Libat Urus Media: Gambaran Keseluruhan Kerja-Kerja Undi JKR Malaysia di JKR Hulu Langat di Seksyen 14, Bandar Baru Bangi di sini.
Hadir sama, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat JKR, Datuk Masri Baharuddin.
Beliau menambah, perolehan projek kecil itu dilakukan secara undian dan terbuka selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan/Perolehan Kerja (PP/PK) yang dikuatkuasakan Kementerian Kewangan.
Menurutnya, seramai 329 kontraktor kecil dalam kalangan kontraktor G1 terbabit dalam proses cabutan undi bagi 20 projek bernilai dari RM50, 000 sehingga RM100, 000 dalam kawasan pentadbiran JKR Hulu Langat.
"Kerja undi dilaksanakan dalam kalangan kontraktor G1 berdaftar dengan CIDB dan mempunyai Perakuan Pendaftaran Kontraktor serta Sijil Perolehan Kerja Kerajaan dan hanya kontraktor tempatan dan berdaftar di Hulu Langat sahaja dibenarkan mendaftar dan menyertai kerja undi," katanya.
14 Jun lalu, JKR menjelaskan perolehan projek kecil dilakukan secara undian dan terbuka selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan/Perolehan Kerja (PP/PK) yang dikuatkuasakan Kementerian Kewangan.
JKR dalam satu kenyataan berkata, proses undian dipelawa melalui media rasmi kerajaan iaitu portal MyProcurement dan laman web jabatan atau papan kenyataan kerana kaedah perlaksanaan itu lebih cepat, adil serta telus.