MB Selangor arah Exco tak guna kenderaan rasmi bagi program politik

Iklan
Amirudin (tengah) bersama penjawat awam pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Penjawat Awam Dan Pemimpin Masyarakat Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz pada Jumaat. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengarahkan semua Ahli Majli Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri itu untuk tidak menggunakan kenderaan rasmi mereka ketika menghadiri program politik.

Beliau berkata, ini susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang berkuat kuasa hari ini, selain memaklumkan kesemua kenderaan rasmi kerajaan negeri itu akan diserah sehari sebelum hari penamaan calon.

Iklan
Iklan

"Kita akan mula hentikan penggunaan kenderaan rasmi sehari sebelum hari penamaan calon, kerana sebaik pembubaran DUN hari ini, masih ada program rasmi yang perlu dihadiri Exco-Exco termasuk mesyuarat tertentu,” katanya kepada media di sini pada Jumaat.

"Saya telah mengeluarkan arahan supaya Exco-Exco tidak membawa kenderaan rasmi mereka, walaupun tidak salah, ketika program politik sepanjang sebelum hari penamaan.

Iklan

"Jadi kalau boleh, mereka kena elak untuk menggunakan kenderaan itu kerana ia tidak membawa imej yang baik dan bagi menjamin tata kelola yang betul,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Menteri Besar bersama Penjawat Awam dan Pemimpin Masyarakat negeri, di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah.

Iklan

Pada majlis yang sama, Amirudin turut menyaksikan penyerahan watikah pembubaran DUN oleh Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor, Shafie Taib.

Penyerahan notis dibuat selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN pada Isnin lepas, sekali gus membuka jalan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Selangor antara enam negeri yang akan mengadakan PRN selain Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu. - Bernama