29 wanita China tidak mengaku tinggal lebih masa, tiada pas

Iklan
Kesemua tertuduh hadir ke mahkamah dengan diiring polis.

SEREMBAN - Seramai 29 wanita warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret berasingan di sini pada Jumaat atas pertuduhan berada di negara ini tanpa pas yang sah dan tinggal lebih masa pada Jumaat.

Kesemua mereka yang berusia antara 23 hingga 64 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khadijah Md Yusop dan Nurul Saqinah Rosli selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, 21 tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963(Pindaan 2002) iaitu berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh disebat tidak lebih enam sebatan.

Iklan

Selain itu lapan lagi didapati berada di negara ini melebihi masa yang telah ditetapkan.

Berikutan itu mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/1963(Pindaan 2002)yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama.

Iklan

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Kesalahan itu dilakukan pada 13 Jun 2023 jam lebih kurang jam 5.15 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban.

Peguam Siti Summaiyah Ahmad Jaafar merayu kesemua tertuduh diberi jaminan atas alasan mereka mempunyai visa perubatan dan ketika ditahan pasport mereka masih belum tamat tempoh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Muhaimin Mohd Azman dan Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi.

Mahkamah menetapkan 10 daripada mereka diberikan jaminan RM10,000, empat lagi masing-masing RM8,000 dan RM4,000 dengan dua penjamin warga tempatan serta menyerahkan paspot kepada mahkamah.

Tiada jaminan ditawarkan kepada 11 lagi dan sebutan semula kes 25 Julai ini.

Sebelum ini akhbar berbahasa Cina melaporkan kesemua mereka ditahan pada 9 Jun lalu di Senawang selepas disyaki cuba menyebar ajaran Kristian yang sesat dan memperdayakan mangsa untuk menderma kononnya bagi tujuan membina gereja.