WELLINGTON - Polis New Zealand pada Jumaat mengumumkan mengenai penemuan lebih banyak mayat manusia di Pike River Mine, hampir 13 tahun sejak letupan yang membunuh 29 lelaki, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Satu siri letupan pada 19 November 2010, di lombong arang batu bawah tanah berhampiran Greymouth, di wilayah Pantai Barat Pulau Selatan negara itu, mengorbankan 29 lelaki. Mayat mereka belum ditemukan sehingga ini.
Detektif Superintendan Darryl Sweeney berkata, mayat dua, mungkin tiga, pelombong ditemukan berdasarkan imej dari lubang gerudi, berhampiran bilik rehat.
Beliau berkata polis belum dapat mengenal pasti lelaki berkenaan.
"Sebelum ini, polis berusaha mengenal pasti mangsa berdasarkan maklumat lokasi pelombong bekerja sebelum letupan pertama.
"Malangnya, dalam kes ini, kami tidak dapat melakukannya."
Salah satu daripada dua kenderaan yang digunakan untuk mengangkut pelombong dan bahan di bawah tanah - turut ditemui di kawasan yang sama, katanya.
Keluarga 29 pelombong telah dimaklumkan tentang penemuan itu pada Rabu.
"Kami menyedari ini amat sukar untuk keluarga dan kami komited untuk memastikan mereka mendapat maklumat terkini."
Polis dan pakar telah menggerudi lubang ke dalam lombong itu sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas bencana itu. Proses itu kini telah selesai dan polis sedang mengkaji kenyataan saksi dan menemu bual semula beberapa daripada mereka, kata Sweeney.
Mayat 12 daripada 29 pelombong telah dikesan. - Bernama