PKR teruskan saman 10 bekas ahli Parlimen keluar parti

Iklan
Saifuddin Nasution.

PUTRAJAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan meneruskan tindakan undang-undang terhadap 10 bekas ahli Parlimen yang melanggar syarat bon mengikat kepada parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, fakta kes tersebut sama seperti saman yang dikemukakan PKR terhadap terhadap bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Iklan
Iklan

"Langkah seterusnya ialah ke atas Ahli Parlimen Keadilan lain yang ikut keluar. Fakta kes sama, insya-ALLAH peluang menang cerah," tulisnya menerusi hantaran di laman Facebook pada Jumaat.

Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan tuntutan RM10 juta oleh PKR terhadap Zuraida yang bekas Naib Presiden PKR itu wajar dijadikan pengajaran.

Iklan

"Usah khianat. Gembiranya hanya sementara," katanya.

Dakwa Saifuddin, pengikut Zuraida yang keluar parti sebelum ini kembali mengemukakan permohonan untuk menyertai semula PKR.

Iklan

"Maaf ya, masuk parti bukan macam bersalin baju," katanya.

Mengimbas kembali saat berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 yang lalu, Saifuddin berkata, semua calon PKR berkumpul di ibu pejabat parti bagi menandatangani suatu bon sebelum diserahkan watikah lantikan.

Bon tersebut mengikat ahli Parlimen PKR yang menang pilihan raya sekiranya bertindak keluar parti perlu membayar RM10 juta.

"Selaku Setiausaha Agung, saya membantu Presiden, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada majlis serahan watikah calon," ujar beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, sejumlah Ahli Parlimen PKR melanggar bon tersebut selepas menang pilihan raya.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dan saya kemudian memulakan tindakan undang- undang ke atas mereka berkenaan," katanya.

PKR sebelum ini membuat tuntutan terhadap 19 ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bertindak melanggar bon tersebut.

Selain Zuraida, mereka adalah bekas Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Jonathan Yasin (Ranau) dan Baru Bian (Selangau) serta Datuk Willie Mongin (Puncak Borneo).

Sementara ADUN pula melibatkan Dr Chong Fat Full (Pemanis), Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia), Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau), Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Azman Nasrudin (Lunas), Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam), Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).