KUANTAN - Seorang nelayan warga Kemboja yang dilaporkan hilang di perairan Dungun, Terengganu sejak malam Rabu lalu ditemui selamat pada awal pagi Jumaat.
Mangsa, Yeng Sot, 41, ditemui bersama bot kecil dinaiki di lokasi kira-kira 90 batu nautika dari Pulau Tenggol, Terengganu oleh kru bot induk.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, mangsa disedari hilang bersama bot kecil ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan itu.
Menurutnya, bot dinaiki mangsa kehabisan minyak dan terputus hubungan dengan bot induk semasa melakukan aktiviti menangkap ikan sebelum dihanyutkan sejauh kira-kira lima batu nautika dari lokasi kejadian.
"Menyedari kehilangan mangsa, tekong dan 18 awak-awak bot induk dibantu bot nelayan lain segera melakukan pencarian di sekitar lokasi itu.
"Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang melalui Pusat Penyelarasan Mencari dan Menyelamat (MRSC) Kuantan mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (carilamat) jam 2.30 petang Khamis setelah menerima laporan kejadian dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.
Kamal Ariffin berkata, Kapal Maritim (KM) Gemia diatur gerak ke lokasi kejadian bagi membuat pencarian.
"Tekong bot berjaya menghubungi mangsa melalui walkie-talkie sebelum diselamatkan," jelasnya.
Beliau berkata, Ops carilamat ditamatkan pada jam 9 pagi.
Sementara itu katanya, komuniti maritim yang ingin melakukan sebarang aktiviti di laut diingatkan agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dengan memakai jaket keselamatan dan menggunakan peranti Personal Locator Beacon (PLB).
Beliau berkata, sebarang aduan dan kejadian kecemasan di laut boleh terus disalurkan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.