ALOR SETAR - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berhasrat untuk menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara.
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, isu berkenaan antara fokus yang diberikan tumpuan agar kehidupan petani yang dibelenggu kemiskinan sejak sekian lama dapat diminimumkan.
Menurutnya, sebagai permulaan, LPP sedang mengenal pasti golongan miskin tegar dalam kalangan ahli-ahli PPK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk dibantu menerusi program yang akan dibangunkan.
"Saya sudah maklumkan kepada semua Pengurus Besar PPK untuk kenal pasti berapa ramai ahli PPK daripada hampir 18,000 keluarga miskin tegar di Kedah, yang dikategorikan miskin tegar.
Mahfuz berkata, agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) turut mengambil inisiatif sama agar matlamat untuk menurunkan peratusan miskin tegar kalangan petani dapat dicapai.
"Saya turut berbincang dengan Datuk Dr Ismail Salleh (Pengerusi MADA) berhubung perkara ini dan beliau juga akan membuat arahan kepada semua PPK bawah MADA untuk pastikan masalah kemiskinan tegar dapat dinoktahkan, khususnya kalangan ahli PPK.
"Secara umum, kita dapat maklumat masih wujud ahli-ahli PPK sebagai golongan miskin tegar,” jelasnya.
Mahfuz berkata, untuk mencapai hasrat tersebut, anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada keluarga PPK juga akan dibimbing agar dapat meneruskan pengajian, seterusnya keluar dari garis kemiskinan.
"Fokus kedua LPP untuk kenal pasti berapa ramai lepasan SPM anak ahli PPK yang tidak mahu lanjutkan pengajian sama ada laluan akademik atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Kita akan arahkan PPK buat perjumpaan dengan keluarga terlibat dan bimbing pelajar tersebut, untuk pastikan mereka diberikan hala tuju pendidikan.
"Kita tak mahu mereka tercicir dan sekurang-kurangnya didedahkan akan kepentingan pendidikan kemahiran melalui TVET,” ujarnya.
Menurutnya, TVET kini merupakan pendidikan arus perdana dan bukan lagi sebagai pilihan kedua.
"Lepasan TVET kini menjadi rebutan sebab industri berkehendakkan golongan yang miliki kemahiran. Adalah malang jika anak muda tak mahu melanjutkan pelajaran dan terus memasuki gig ekonomi.
"Jika 400,000 orang sertai bidang ekonomi, akan berlaku lambakan. Umpama sebuah kek yang besar terpaksa diagihkan seorang sedikit.
"Ini tidak menguntungkan dan merencatkan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan masyarakat,” ujarnya.