TUMPAT - Seorang remaja perempuan sanggup membuang bayi yang baru dilahirkan di belakang rumah di Kampung Geting di sini, sebelum berpura-pura menjumpai bayi tersebut.
Bayi perempuan yang ditinggalkan dalam keadaan bogel dan kebiruan dengan tali pusat sudah dipotong itu dipercayai dilahirkan pada jam 9.30 pagi Jumaat oleh remaja berusia 18 tahun tersebut.
Ibu remaja itu berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anak perempuannya memaklumkan terdengar suara tangisan bayi dan mendakwa ada individu membuang anak di belakang rumah.
Menurut pembantu kedai makan yang berasal dari Sungai Golok, Thailand itu, dia tidak terus pulang kerana sedang bekerja namun sekali lagi dihubungi anaknya sebelum meminta saudara pergi melihat keadaan.
"Saya pun turut bergegas balik dan sebaik sampai, saya melihat jiran sedang memangku seorang bayi.
"Saya terus bertanyakan anak, adakah bayi itu anaknya, namun dia menafikan,” katanya ketika ditemui di sini.
Ujar wanita itu, satu uri turut ditemui ditanam tidak jauh dari lokasi bayi ditemukan dan anaknya tetap enggan mengaku sebaliknya mendakwa lelehan darah yang kelihatan di betisnya kerana datang bulan.
Kata wanita berusia 37 tahun itu, anaknya baru tinggal bersamanya pada Ramadan lalu selepas bapa kandung yang juga bekas suaminya meninggal dunia akibat serangan strok.
"Anak saya belum berkahwin dan saya tidak tahu jika dia mengandung kerana badannya memang berisi.
"Cuma dia beritahu kurang sihat dan lapar ketika terjaga dari tidur pada jam 1 pagi tadi,” katanya.
Menurut wanita itu, sebelum keluar bekerja pada jam 4 pagi, dia sempat memasak untuk anaknya yang dikatakan demam tanpa memikirkan apa-apa yang pelik.
Tambah wanita yang sedang hamil enam bulan itu, dia menghubungi polis kerana buntu memikirkan perkara tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah mengesahkan menerima laporan berhubung penemuan bayi berkenaan dan akan menjalankan siasatan.