SHAH ALAM - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berhasrat untuk memperluaskan pasaran produk dan perkhidmatannya ke peringkat global dan tidak hanya tertumpu kepada domestik.
Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, usaha itu dilakukan melalui kerjasama strategik dan pelan tindakan yang sedang berjalan.
Menurutnya, keberadaan kepimpinan Angkasa dalam jawatankuasa antarabangsa membuktikan kepercayaan masyarakat luar terhadap kepimpinan koperasi di Malaysia.
"Angkasa komited merencana dan melaksanakan program pemerkasaan koperasi secara berterusan dan menjadi suara yang mewakili gerakan ini di peringkat nasional dan antarabangsa seiring dengan 52 tahun penubuhannya.
"Melalui hubungan dan jaringan kerjasama antara Angkasa dengan pihak kerajaan serta pemegang taruh, gerakan koperasi akan terus melebarkan sumbangannya mencukupi keperluan anggota, membantu rakyat bangkit semula meningkatkan ekonomi diri dan memajukan pembangunan sosioekonomi negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yang juga Presiden Organisasi Koperasi Asean (ACO) dan Naib Presiden Perikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) berkata, perubahan secara holistik perlu dilaksanakan demi memastikan gerakan koperasi terus berperanan sebagai jentera peningkatan taraf hidup masyarakat.
Jelasnya, Angkasa telah mula menjalankan transformasi secara menyeluruh dalam memantapkan sumbangan gerakan koperasi kepada anggotanya dan masyarakat.
Antara yang dilakukan adalah polisi dan dasar diubah bagi membolehkan Angkasa melalui anak syarikat menjalankan perniagaan bagi mencari alternatif kepada sumber kewangan yang selama ini bergantung kepada aktiviti potongan gaji.
"Secara dasarnya, perniagaan anak syarikat ini bukan dijalankan untuk bersaing dengan mana-mana koperasi tetapi mewujudkan peluang kerjasama bersama-sama koperasi untuk terlibat dengan aktiviti perniagaan berimpak tinggi.
"Anak- anak syarikat ini ditubuhkan berdasarkan kepada lapan sektor pembangunan perniagaan koperasi yang diterajui Angkasa sendiri bagi meneroka peluang baharu yang dapat dimanfaatkan oleh koperasi.
"Proses inkubasi adalah salah satu strategi kita sebagai penggerak pemula sesuatu projek sebelum dijalankan bersama koperasi. Ini bukan sahaja dapat membantu koperasi terlibat dalam projek yang sudah berdaya maju malah mengurangkan risiko kepada mereka untuk mengalami kerugian,” ujar beliau.
Tambah Abdul Fattah, Angkasa juga sedar penggunaan teknologi dan adaptasi penggunaannya amat meluas sehingga sekecil-kecil perniagaan, namun mengakui ada cabarannya bagi sesetengah koperasi untuk mengaplikasikan teknologi dalam urusan seharian.
Angkasa katanya, memperkenalkan Projek Barang Asas 100 (BA100) sebagai langkah memperkenalkan koperasi kepada dunia digital di mana sistem dalam talian digunakan dalam peruncitan yang menghubungkan koperasi, pembekal dan pengguna.
Melalui sistem itu, koperasi itu dapat mengumpulkan pesanan koperasi untuk dibeli secara pukal daripada pembekal yang akhirnya memberi manfaat kepada pengguna dalam bentuk harga yang lebih menjimatkan.
"Sistem ini juga melibatkan pemasaran produk keluaran koperasi dalam mewujudkan ekosistem pembekalan barangan keperluan yang dikuasai oleh gerakan ini.
"Sebagai badan yang menjadi suara gerakan koperasi, isu serta cabaran koperasi diberi perhatian khusus baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.