Kerajaan percepat wujudkan ekosistem EEV - Tengku Zafrul

Iklan
Tengku Zafrul. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Malaysia, melalui Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsaan (NEVSC) yang baru ditubuhkan dengan diteraju Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan mempercepat pembolehan ekosistem kenderaan cekap tenaga (EEV) supaya negara kekal kompetitif dengan negara serantau lain.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, masa depan mobiliti elektrik Malaysia serta manfaatnya bagi pengguna dan alam sekitar terletak pada perkongsian kolaboratif merentas industri dalam satu ekosistem yang diperkasakan.

Iklan
Iklan

"Jemaah Menteri telah menimbang dan bersetuju untuk menambah baik struktur tadbir urus Pasukan Petugas EV Kebangsaan (NEVTF) dengan mewujudkan Jawatankuasa Pemandu EV Kebangsan (NEVSC).

"Kita mahu menyelaraskan pemahaman dan hala tuju semua pihak berkepentingan supaya kita dapat membentuk sebuah sinergi kerjasama yang padu dalam menjayakan inisiatif nasional kenderaan elektrik berdasarkan pendekatan keseluruhan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Green EV Charge Sdn Bhd (GEV) dan PLUS Malaysia Bhd di sini, pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, jawatankuasa Pemandu ini diterajui oleh MITI dan diwakili oleh pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pihak industri yang berkaitan.

NEVSC juga akan dianggotai oleh Kementerian Kewangan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); Kementerian Pengangkutan; Kementerian Kerja Raya; Kementerian Perumahan dn Kerajaan Tempatan (KPKT); dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), katanya.

Iklan

"Saya benar-benar berharap untuk bekerjasama dengan semua menteri dan juga pegawai mereka di peringkat pengurusan tertinggi. Tujuan utamanya adalah kita menyelesaikan isu-isu berbangkit mengenai pelaksanaan ekosistem EEV secepat mungkin.

"Setakat ini, kita ada lebih kurang 1,000 stesen pengecas. Sasaran kita adalan mewujudkan sekurang-kurangnya 10,000 stesen pengecas menjelang 2025,” katanya.

Terdahulu ketika berucap, Zafrul berkata, usaha meletakkan Malaysia sebagai negara proindustri, propelaburan dan properdagangan di samping memastikan kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta warga Malaysia sentiasa dilindungi untuk memupuk pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif dan menyeluruh, kekal penting dan menjadi keutamaan pihaknya.

"Selagi saya menjadi Menteri di MITI, anda memiliki jaminan saya iaitu MITI akan melakukan sebaik mungkin untuk menyediakan dasar dan kerangka pengawalseliaan yang sewajarnya untuk merealisasikan objektif negara kita,” katanya. - Bernama.