Potongan 25 peratus cukai taksiran rumah mampu milik di KL - PM

Iklan
Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan bersetuju untuk memberikan pengurangan cukai taksiran sebanyak 25 peratus bermula penggal kedua tahun 2023 (Julai hingga Disember 2023) kepada pemilik rumah mampu milik di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif berkenaan adalah bagi kategori rumah kediaman mampu milik yang telah siap selepas 2014 sehingga kini dan pengurangan 25 peratus itu adalah sehingga penilaian semula dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Pengurangan cukai taksiran ini memberikan manfaat kepada 25,677 pemilik rumah mampu milik di Kuala Lumpur,” kata beliau pada Sesi Temu Mesra Perdana Menteri bersama pemilik rumah mampu milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dan perasmian Taman Tasik Metropolitan Kepong di sini pada Jumaat.

Sementara itu dalam kenyataan Perdana Menteri berkata, kategori pemilik rumah mampu milik yang layak bagi inisiatif itu adalah projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur.

Iklan

"Pengurangan cukai taksiran kediaman rumah mampu milik ini dapat mengurangkan beban kos sara hidup warga B40 dan M40 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” kata beliau.

Dalam pada itu Anwar menzahirkan harapan untuk melihat Kuala Lumpur dikenali sebagai bandar raya contoh yang prihatin dan menjaga nasib rakyat keseluruhannya.

Iklan

Beliau berkata, bandar raya ini perlu peka dan adil kepada semua kategori rakyat bagi memastikan kesenjangan antara golongan paling kaya dan miskin tidak melebar.

"Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu dikenali sebagai bandar raya contoh dengan kebersihannya, kepesatan pembangunan, mempercepat kelulusan, elak kerenah pentadbiran dan prihatin kepada nasib rakyat.

Kita pastikan rumah mewah disediakan supaya mereka yang mampu dan kaya boleh hidup tetapi kita juga kena pastikan rumah rakyat miskin dan rumah mampu milik turut disediakan barulah ada erti dan makna pembangunan," katanya. - Bernama