SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan kesan ganda kepada ekonomi negara menjadi lebih besar menerusi penganjuran konsert kumpulan rock alternatif British, Coldplay di Malaysia.
Beliau menjelaskan negara akan mendapat limpahan ekonomi susulan ramai pengunjung akan berbelanja di negara ini.
"Orang ingat konsert hanya sekadar konsert sahaja tetapi lupa bahawa apabila buat konsert artis antarabangsa.
"Orang akan datang dari luar dan mereka kena ambil bilik hotel, kena tempah penerbangan (flight) dan akan belanja. Jadi kesan ganda kepada ekonomi kita besar," menerusi rancangan podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.
Pada Selasa, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Malaysia terlepas peluang ekonomi yang boleh dihasilkan daripada penganjuran konsert Coldplay.
Beliau berkata, Singapura meraih keuntungan besar apabila kumpulan itu memutuskan untuk membuat persembahan selama enam hari di negara berkenaan.
Sebelum ini media melaporkan Coldplay mencatat sejarah sebagai kumpulan yang mengadakan konsert terbanyak di satu lokasi secara berturut-turut dalam tempoh enam hari di Stadium Nasional, Singapura sempena konsert jelajah Music Of The Spheres, Januari tahun depan.
Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata, perlu ada strategi untuk mengatasi masalah berkenaan susulan antara aliran modal atau perolehan mata wang asing paling besar adalah melalui pelancongan.
"Ini kerana pelancong datang beli guna ringgit sebab nak belanja di sini. Itu antara perolehan mata wang asing nombor dua atau ketiga terbesar untuk negara kita.
"Tetapi kita masih lagi tidak letak Malaysia di peta pelancong berbanding Singapura atau Bangkok," ulasnya.
Khairy Jamaluddin turut membangkitkan mengenai strategi pelancongan negara selain mempersoalkan perlu menunggu Tahun Melawat Malaysia untuk mempelbagaikan acara dan program di negara ini.
"Tak kan kita menunggu untuk Tahun Melawat Malaysia setiap empat atau lima tahun atau kita bergantung pada satu pasaran sahaja iaitu 'pakej tour' dari China. Apa kita punya naratif dalam sudut pelancongan.
"Dulu kita ada tagline 'Malaysia Truly Asia' dan tagline sangat cantik tetapi apa produk-produk dia menjadikan Malaysia ini sebagai truly Asia. Saya risau bahawa satu ketika nanti lebih jauh ketinggalan kita dalam hal pelancongan ini," ujarnya.
Justeru, beliau menggesa kerajaan terutama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) supaya lebih aktif dan perancangan untuk mengadakan konsert dan acara antarabangsa pada masa akan datang.
"Kita jangan reaktif apabila tahu Coldplay nak buat konsert barulah kita nak kejar konsert tersebut. Kena ada pegawai-pegawai bawah kementerian pelancongan yang sudah ada jangkaan bahawa 'band' (kumpulan muzik) ini akan buat 'tour'.
"Dahulu kita ada Formula Satu (F1) yang dijadikan program utama dalam kalendar pelancongan kita dan sekarang sudah tidak ada. Jadi kita kena lebih agresif," ujar beliau.