SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendakwa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil dan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sebagai individu yang mempertikai, meremehkan dan menyerang badan kehakiman negara.
Menurutnya, ini adalah kerana Isham mencadangkan untuk menubuhkan tribunal kehakiman bagi menyiasat dan mengambil tindakan berkaitan isu melibatkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Selain itu, tambah beliau, Zaid pula menyifatkan UMNO tidak serius menuntut pengampunan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan tidak membuat sebarang usaha untuk meyakinkan orang awam mengenai pengampunan diraja itu.
"Bagi saya, ini adalah serangan terhadap badan kehakiman. Apabila Perdana Menteri menyatakan bahawa ini tidak menjadi masalah, habislah cerita di situ. Kenapa perlu ada serangan bertubi-tubi terhadap institusi kehakiman negara kita, mempertikaikan, meremehkan kehakiman kita?
"Kedua, isunya adalah dinamika dalaman UMNO, yang mana (pemimpin) sudah jadi menteri lupakan ‘Bossku’, tetapi masih ada lagi (individu dalaman UMNO) pejuang-pejuang ‘Bossku’,” katanya menerusi rancangan podcast Keluar Sekejap pada Jumaat.
Pada 19 Jun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Nazlan berhubung kes rasuah dan percanggahan isu konflik kepentingan ketika mengendalikan perbicaraan Najib dalam kes SRC International Sdn. Bhd.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu turut dipersetujui pihak Jabatan Peguam Negara.
Menurut Khairy, berdasarkan makluman Perdana Menteri itu, ia telah membuktikan bahawa Anwar yang merupakan seorang mementingkan tatakelola, kebebasan institusi telah melakukan satu tindakan betul.
"Dia (Anwar) nak tunjuk bahawa tidak ada kesilapan ataupun kesalahan yang berlangsung dalam hal ini,” ujarnya.
Sementara itu, Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, sesetengah individu yang menunggang isu Najib itu tidak memberikan sebarang keuntungan kepada beliau.
"Di akhirnya, hanya ada satu jalan sahaja iaitu pengampunan atau tidak mendapat pengampunan.
"Secara asasnya, dapat pengampunan atau tidak, itu sebenarnya kita tunggu. Apa keputusan yang akan dibincang dalam Lembaga Pengampunan yang saya difahamkan akan berjumpa dalam sebulan dua lagi,” ujarnya.