Sejarah perlu dilihat dari perspektif lebih luas

Iklan
Laporan Sinar Harian sebelum ini. Gambar kecil: Asmirul Anuar Aris.

ALOR SETAR - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan, Asmirul Anuar Aris menjunjung titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berhubung isu sejarah Kedah-Pulau Pinang.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah berkata, baginda telah memberikan nasihat dan pandangan bijaksana tentang isu tersebut dari segi sejarah, perundangan dan perlembagaan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, baginda menyentuh bahawa perbincangan mengenai perkara itu harus disulami dengan fakta berasas dan tepat memandangkan sejarah adalah sumber kebijaksanaan terpenting dalam mengajar tentang seni bernegara.

"Jadi, saya melihat sejarah perlu dilihat dari perspektif lebih luas termasuklah isu Kedah dan Pulau Pinang. Bermakna dalam titah Tuanku, baginda menasihatkan kajian secara ilmiah dan akademik dilakukan berkaitan sejarah.

Iklan

"Pada masa sama, perkembangan (minat rakyat berbincang) mengenai sejarah Kedah itu tidak terlepas dari sudut sejarah, perundangan dan perlembagaan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum itu, Asmirul memetik titah Sultan Sallehuddin yang berharap agar minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu, malah perbincangan mengenai perkara itu haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

Iklan

Beliau berpandangan, semua pihak perlu memahami makna tersirat di sebalik titah Sultan Sallehuddin itu.

Asmirul berkata, baginda turut menekankan tentang kepentingan hubungan baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemimpin peringkat perlu mengetepikan perbezaan pandangan dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

"Berdasarkan pepatah Inggeris 'How to say no by say yes', isi tersirat (dalam titah) maksudnya baginda menegur kerajaan negeri supaya berbaik dengan kerajaan Persekutuan.

"Bagaimana, kita (kerajaan negeri) mahu (membangun) bersendirian tanpa sokongan daripada kerajaan Persekutuan?" katanya.

Asmirul berkata, beberapa agensi di Kedah seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berada di bawah kementerian.

"MADA berada dalam pertanian, KEDA dalam luar bandar dan LADA dalam prlancongan, jadi kerajaan negeri sepatutnya berbaik-baik bagi mendapat dana daripada pihak kerajaan Persekutuan.

"Apa ruginya (kerajaan negeri) merendah diri dan apa untungnya meninggi diri," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati hasil kerajaan negeri ketika ini tidak berkembang, sekali gus memerlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri memerlukan sehingga ratusan juta ringgit untuk sama-sama membangun dalam bidang pertanian, pelancongan dan luar bandar," katanya.

Pada Ahad lepas,Sultan Sallehuddin bertitah perbincangan mengenai sejarah Kedah mulai subur di pelbagai platform sejak akhir-akhir ini adalah satu perkembangan yang baik.

Bagaimanapun, baginda berharap minat rakyat untuk mendalami sejarah sebenar Kedah dan Pulau Pinang tidak dinoktahkan secara melulu, malah perbincangan mengenai perkara itu haruslah disulami dengan fakta yang berasas dan tepat.

Baginda berpandangan, adalah lebih baik sekiranya fakta-fakta ini dikaji secara ilmiah dan lebih tersusun agar dapat dijadikan rujukan serta membawa kebaikan kepada generasi akan datang.