Mestecc laksana 73 inisiatif

Iklan
Bee Yin menunjukkan pencapaian keseluruhan suku tahun pertama Mestecc pada sidang media di Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA - Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) sedang melaksanakan 73 inisiatif bagi 2019.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, ia melibatkan lima sektor antaranya tenaga, sains teknologi dan inovasi (STI), alam sekitar dan perubahan iklim, kecemerlangan organisasi serta isu-isu strategik.

Iklan
Iklan

Katanya, daripada kelima-lima sektor itu, 84 aktiviti atau 14.8 peratus di bawah tenaga, 230 aktiviti (40 peratus) bagi sains, teknologi dan inovasi, 191 aktiviti (33.2 peratus) di bawah alam sekitar dan perubahan iklim, 38 aktiviti (6.6 peratus) serta isu-isu strategik pula 31 aktiviti (5.4 peratus).

"Kebanyakan inisiatif ini telah kita laksanakan dan sedang berjalan pada 2019,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Iklan

Beliau berkata, bagi sektor tenaga pihaknya sedang berusaha meningkatkan penggunaan tenaga boleh baharu sebanyak 20 peratus menjelang 2025.

"Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan campuran tenaga boleh baharu dalam bekalan elektrik negara. Peningkatan campuran ini akan mengurangkan kebergantungan kepada sumber bahan api fosil dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Iklan

"Bagi suku tahun pertama, 311 megawatt (MW) direkodkan berbanding petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu 420 MW yang mencapai tarikh operasi komersial,” jelasnya.Katanya, kementerian sedang giat menjalankan gerak kerja bagi Minggu Sains Negara bagi tujuan mempromosikan bidang tersebut.

"Ia platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat umum terhadap kepentingan sains dan teknologi dalam kehidupan manusia serta kemajuan negara.

"Tema Minggu Sains Negara tahun ini ialah Sains Untuk Kesejahteraan. Status pencapaian setakat ini ialah ia telah dilaksanakan dari 1 hingga 7 April 2019 serentak di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Fasa kedua akan dilaksana pada 2 hingga 8 Ogos ini serentak di negeri lain,” katanya.

Bee Yin pada sidang media tentang pencapaian kementeriannya dalam tempoh menjelang setahun pemerintahan PH.

Menyentuh sektor alam sekitar dan perubahan iklim, Bee Yin berkata, teras pertama adalah memperkukuhkan penguatkuasaan di mana ia adalah inisiatif 38 kementerian itu.

"Kementerian berusaha meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang dilesenkan di bawah Seksyen 18(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling dan premis tidak dilesenkan di bawah akta itu.

"Inisiatif itu bertujuan menutup 100 kilang kitar semula bahan buangan plastik di seluruh negara pada akhir Mac 2019. Setakat ini 573 daripada 700 pemeriksaan premis yang dilesenkan telah dilaksanakan dan 2,745 daripada 3,200 pemeriksaan premis yang tidak dilesenkan turut dijalankan,” katanya.

Jelasnya, di bawah inisiatif 42 sektor itu, kementerian tersebut akan membentangkan Rang Undang-Undang Perlindungan Alam Sekitar di Parlimen pada suku keempat tahun ini.

"Matlamat utama penggubalan akta baharu ini adalah untuk memperkukuhkan dan memantapkan pelaksanaan tugas-tugas Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Ia selaras dengan perkembangan terkini pengurusan dan isu alam sekitar, penggunaan teknologi kawalan pencemaran yang terbaik dan obligasi negara terhadap konvensyen antarabangsa,” katanya.