Kerani rugi lebih RM113,000 terpedaya pulangan lumayan 120 saat

Iklan

KUANTAN - Seorang wanita nekad menggunakan wang simpanan dan meminjam daripada ahli keluarga untuk menyertai pelaburan dalam talian ditawarkan kenalan warga negara asing dengan pulangan lumayan hanya dalam tempoh 120 saat.

Mangsa berusia 37 tahun yang bertugas sebagai kerani melabur sebanyak RM113,875 namun harapan untuk menikmati keuntungan 10 peratus yang dijanjikan lebur selepas mendapati pelaburan itu sebenarnya tidak wujud.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa berkenalan dengan suspek yang mengakui sebagai warga Taiwan melalui aplikasi Instagram pada awal Mei lalu.

Menurutnya, suspek yang berjanji datang ke negara ini untuk menemui mangsa telah menawarkan pelaburan secara dalam talian melalui aplikasi JPEX untuk membantu wanita itu menjana wang dalam mata wang dolar Amerika Syarikat.

Iklan

"Terpedaya dengan tawaran keuntungan lumayan itu, mangsa melabur RM113,875 melalui 11 transaksi bayaran ke enam akaun bank berbeza dalam tempoh dua minggu bermula 2 Jun lalu," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.

Yahaya berkata, mangsa menyedari ditipu apabila gagal menerima keuntungan dijanjikan malah wang pelaburannya turut lesap.

Iklan

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

"Sekiranya ingin membuat pelaburan, buat semakan atau mendapatkan maklumat dari pihak polis dan Bank Negara bagi mengelak menjadi mangsa pelaburan yang tidak wujud," ujarnya.