PASIR PUTEH - Pantai Bisikan Bayu di sini yang sebelum ini terpalit dengan isu sampah bakal sepi susulan 85 peniaga diarahkan berpindah sebelum 3 Julai ini.
Lebih menyedihkan lagi apabila kebanyakan peniaga terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim dan golongan asnaf itu buntu memikirkan nasib mereka selepas ini.
Penyewa tapak, Nor Hazri Mohd Nor, 43, berkata, penat lelah dia bersama peniaga lain menghidupkan kawasan pantai tersebut seperti tidak dihargai apabila diperlakukan sedemikian.
"Sejak tahun 2020 dengan bermodalkan lebih RM100,000 pelbagai kemudahan seperti surau, tandas awam dan kemudahan rekreasi disediakan untuk menarik pengunjung.
"Tetapi tidak sampai tiga tahun, tanpa sebarang rundingan dan hanya notis sahaja diberikan untuk kami mengosongkan kawasan ini dalam tempoh 14 hari," katanya ketika ditemui di Pantai Bisikan Bayu, di sini.
Menurut dia, memikirkan nasib 85 peniaga yang bakal kehilangan punca pendapatan amat menyedihkan dan lebih mengecewakan lagi mereka langsung tidak diberi tempat baharu sebagai ganti untuk meneruskan perniagaan.
Peniaga laksa, mi udang dan masakan panas, Zainon Mohktar, 58, memberitahu, dia terkejut menerima notis pemakluman yang disifatkan sebagai mimpi ngeri.
Katanya, sebelum ini kawasan itu bersemak-samun namun berubah dengan kehadiran peniaga sehingga menjadi maju.
Ujar ibu kepada lima orang anak itu, apabila dikunjungi ramai pengunjung, mereka dihalau begitu sahaja tanpa sebarang pembelaan.
"Kalau hendak ambil tempat ini, bagilah kami kawasan baharu untuk berniaga. Kerana ini sahaja punca pendapatan yang kami ada," katanya.
Bagi peniaga mi kari, bakso dan mi celup, Norida Hassan, 47, memberitahu dia kini buntu memikirkan tarikh yang semakin hampir.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, dengan keadaan ekonomi sekarang sukar untuk mencari pekerjaan lain.
"Kami harap ada pihak sudi bantu. Bukan mudah untuk kami lalui semua ini, kerana sudah bertahun duduk berniaga di sini," ujarnya.
Sementara itu, pihak pengurusan ibu pejabat Tok Aman Bali Resort ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Sebelum ini Sinar Harian pernah melaporkan pantai rekreasi tersebut tular berikutan kawasan itu dipenuhi sampah sarap yang mencacatkan pemandangan sebagai lokasi pelancongan.
Pada 10 Mei, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr Izani Hussin berkata, kawasan pantai tersebut yang dipenuhi sampah serta kotor merupakan tanah milik persendirian.