SUSULAN konsert kumpulan rock dari United Kingdom, Coldplay ditambah menjadi enam hari di Singapura, manakala hanya satu malam di negara ini terus menjadi topik hangat rakyat Malaysia ketika ini.
Bagi bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, beliau berpandangan perkara itu memperlihatkan bagaimana Malaysia kehilangan peluang untuk meningkatkan aliran modal menerusi industri pelancongan.
"Kita perlu ada strategi mengatasi masalah ini, minggu lepas kita bercakap aliran modal. Kita tahu aliran modal paling besar menerusi pelancongan, pelancong datang dan beli ringgit sebab nak belanja di sini.
"Itu nombor kedua currency earner terbesar di negara kita. Tetapi kita masih lagi tidak dapat meletakkan Malaysia di peta pelancong berbanding Singapura atau Bangkok for that matter," katanya.
Jelas Khairy lagi, perlu ada strategi pelancongan yang lebih agresif dilakukan dalam isu itu.
"Perbincangan ekonomi pun kita bangkitkan mana strategi pelancongan kita, takkan kita menunggu untuk Tahun Melawat Malaysia setiap empat tahun, atau kita hanya bergantung kepada satu pasaran package tour daripada China.
"Apa naratif dari sudut pelancongan? Dulu kita ada Malaysia Truly Asia sangat cantik, tapi apa produk menjadikan Malaysia Truly Asia," soalnya lagi dalam podcast Keluar Sekejap yang disiarkan pada Jumaat.
Sementara itu bagi Shahril Sufian Hamdan beliau berpandangan, tindakan kumpulan Coldplay menambah hari konsert di Singapura juga disebabkan negara kota singa itu dilihat sebagai hab pelancongan.
"Ia juga cerminan Singapura hab pelancongan dan bukan Malaysia. KJ berikan contoh orang luar datang ke sesebuah negara untuk tengok konsert.
"Saya ke Singapura tempoh hari untuk pergi tengok Artic Monkeys sebab tidak datang ke Malaysia. Coldplay ini pilih Singapura sebab dia tahu connectivity lebih banyak," katanya lagi.
Sebelum ini, Live Nation Singapura mengumumkan konsert jelajah Coldplay, Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Singapura kini akan diadakan sebanyak enam hari. - Awani