TEMERLOH - Sambutan korban di Kampung Sungai Kepong dekat Lanchang di sini akan menjadi lebih istimewa apabila seorang usahawan memilih lembu hibrid ataupun lebih dikenali lembu sado seberat satu tan bernilai kira-kira RM20,000 untuk Aidiladha tahun ini.
Roslan Basri, 47, memilih baka Limousine buat julung kalinya bagi tujuan korban tersebut di kampung terbabit.
Menurutnya, lembu itu akan dikorbankan pada hari pertama Aidiladha di masjid kampung tersebut.
"Tahun lepas saya pilih lembu sado juga dengan nilai sama tapi dibuat di Masjid Makmur Kampung Losong Dato Amar di Kuala Terengganu.
"Kali ini selepas berbincang dengan isteri, kami pilih lembu sado untuk dikorbankan di sini pula," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Ujar beliau, lembu tersebut telah dipeliharanya sendiri sejak tiga tahun lepas di kampung terbabit.
Diberi nama 'Kidal' yang memiliki warna lipan bara, lembu sado jantan itu dipelihara sejak berusia satu tahun hingga kini.
"Memang sayang tapi saya pilih untuk korbankan benda yang paling kita sayang untuk dikorbankan," ujar beliau turut memelihara empat lagi lembu sado pelbagai baka.