MB Selangor bidas tindakan hina penjawat awam

Iklan
Amirudin Shari

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari membidas tindakan Perikatan Nasional (PN) menghina penjawat awam dengan melabelkan mereka sebagai beban.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Selangor sentiasa menitikberatkan kebajikan para penjawat awam kerana mereka adalah tulang belakang pentadbiran.

Iklan
Iklan

"Di Selangor, selain dari bantuan khas kewangan khusus buat penjawat awam ketika Aidilfitri dan akhir tahun, mereka turut dilindungi dengan insurans hayat percuma melalui Skim Insan.

"Malah, kerajaan negeri turut menghargai jasa penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Selangor dengan pemberian Bantuan Khas Kita Selangor kepada para penjawat awam Persekutuan baru-baru ini.

Iklan

"Ini pertama kali dalam sejarah Negeri Selangor," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Sabtu.

Terdahulu, Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) membidas Putrajaya dengan mendakwa, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal selepas membuat keputusan untuk menambah bilangan kakitangan penjawat awam.

Iklan

Dalam satu hantaran di Facebook Gerakan Penang (yang kemudian dipadamkan), jurucakap Gerakan Pulau Pinang, Mok Kok On mendakwa, penjawat awam sedia ada adalah beban kepada negara dan kerajaan sepatutnya mengecilkan saiz perkhidmatan awam.

Beliau dilaporkan berkata, dalam menangani gaji penjawat awam dan pencen yang besar, sudah tiba masanya untuk Anwar menambah hasil negara dan mengurangkan perbelanjaan dengan mengurangkan penjawat awam dan hutang luar negara.

Berikutan itu, parti Gerakan pada Khamis memohon maaf atas kenyataan yang dikeluarkan Kok On, berkenaan penjawat awam itu.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Gerakan, Mak Kah Keong berkata, pihaknya telah menyerahkan kes berkenaan kepada Lembaga Disiplin parti itu untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, PH sentiasa menghargai khidmat para penjawat awam Selangor yang professional bagi bersama-sama memajukan negeri ini.

"Dasar dan kebijakan yang memberi manfaat rakyat di Selangor adalah hasil usaha para penjawat awam, pimpinan masyarakat dan golongan professional.

"Saya amat kesal dan kecewa dengan tindakan Perikatan Nasional menghina para penjawat awam ini. Satu tindakan yang biadab," tambahnya.