Pegawai penguat kuasa perlu jalani latihan etika, integriti

Iklan
Jais

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mencadangkan pegawai penguat kuasa menjalani latihan etika, integriti dan antirasuah secara berkala bagi membantu meningkatkan kesedaran mereka terhadap bahaya serta akibat rasuah.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, ini kerana terdapat banyak kejadian yang agak menonjol melibatkan anggota penguat kuasa dan sering menarik perhatian media sekali gus menjadi tumpuan awam.

Iklan
Iklan

Katanya, satu sahaja kes rasuah yang melibatkan anggota penguat kuasa sudah cukup untuk merosakkan reputasi institusi secara keseluruhan.

Menurut beliau, anggota penguat kuasa mempunyai tanggungjawab untuk mengekalkan ketertiban dan keadilan dalam masyarakat.

Iklan

"Penguat kuasa perlu menunjukkan komitmen mereka terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban (akauntabiliti). Mereka harus memastikan bahawa siasatan serta tuduhan kes rasuah melibatkan anggota mereka dilakukan secara adil.

"Agensi penguat kuasa juga harus mengamalkan sistem pelaporan dan mekanisme pengawasan dalaman yang kukuh bagi membantu mengurangkan peluang terjadinya rasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan video yang dimuat naik menerusi TikTok dengan hantaran mendakwa terdapat unsur rasuah melibatkan anggotanya, pada Jumaat.

Jais berpendapat, jika video itu fitnah maka individu terlibat perlu membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat perkara tersebut dan tindakan sewajarnya mengikut kanun keseksaan perlu diambil.

"Biasanya, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," jelasnya.

Ditanya bagaimana mahu mengubah persepsi masyarakat mengenai rasuah dan anggota penguat kuasa, Jais memberitahu, sistem keadilan negara mesti tegas serta keras terhadap anggota penguat kuasa yang terlibat dengan rasuah.

"Hukuman yang tegas dan adil kepada pelaku rasuah terutama kepada anggota penguat kuasa akan menghantar mesej bahawa rasuah tidak akan ditoleransi dan ini akan membantu membina kepercayaan masyarakat.

"Selain itu, masyarakat juga perlu terlibat dalam usaha memerangi rasuah. Program pendidikan dan kesedaran awam tentang kepentingan melaporkan tindakan rasuah serta perlindungan yang diberikan kepada pihak yang melapor, boleh membantu membina budaya tidak toleransi terhadap rasuah," katanya.