Fandi akui Sri Pahang terpaksa kerja keras

Iklan
Kpah Sherman (tengah) diasak pemain Kelantan, Muhammad Yusri Yuhasmadi (kiri) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini. - Foto: Bernama

KEJAYAAN Sri Pahang FC membelasah kelab tercorot, Kelantan FC, 5-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Jumaat disifatkan sebagai kemenangan yang belum sempurna.

Sebaliknya pengendali Tok Gajah, Fandi Ahmad dipaksa bekerja lebih keras pada separuh masa kedua bagi menjinakkan skuad kendalian Frank Bernhardt yang tampil tanpa tenaga import selain diperkuatkan enam pemain muda dalam kesebelasan utama.

Iklan
Iklan

Tegasnya, dia kurang berpuas hati dengan persembahan pemain di Kota Bharu walaupun skuad Tok Gajah menguasai rentak permainan.

"Sejujurnya, kami perlu bekerja keras terutamanya separuh masa kedua sebelum dapat menewaskan pasukan Kelantan yang tampil tanpa kelibat para pemain import.

Iklan

"Malah dalam separuh masa pertama kami kurang bernasib baik biarpun mendahului satu gol apabila pasukan Kelantan lebih banyak membuat serangan balas," kata sejurus tamat perlawanan.

Dalam pada itu, pengendali kelahiran Singapura itu turut mengakui situasi tersebut menyebabkan pasukan terpaksa melakukan tiga penukaran pemain bagi memperkemaskan semula rentak permainan pasukan.

Iklan

"Saya percaya sekiranya pasukan Kelantan berjaya menjaringkan gol, tempo perlawanan berkemungkinan akan berubah menjadi lebih berintensiti tinggi," jelasnya.

Dalam perlawanan itu, gol Sri Pahang dijaringkan Sergio Aguero pada minit ketujuh, diikuti masing-masing dua gol daripada Fadhli Shas (minit ke-48', m-61) dan Kpah Sherman (m-58', 86') untuk membawa pulang tiga mata.

Sementara itu, kekalahan ke-12 buat Kelantan FC dalam saingan liga itu disaksikan 3,528 penyokong sendiri di venue keramat The Red Warriors (TRW) selepas mengharungi 14 perlawanan yang menyaksikan Kelantan kekal di tangga ke-14 liga dengan melakarkan satu kemenangan, satu seri dan 12 tewas.

Sri Pahang pula naik satu anak tangga di kedudukan ketiga dengan 31 mata selepas melakarkan sembilan kemenangan, empat seri, dua tewas dalam 15 perlawanan.

Kelantan selepas ini dijadualkan berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya pada 8 Julai depan manakala Sri Pahang melayan kunjungan Selangor FC di Stadium Darul Makmur (9 Julai).