SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor mengesahkan tidak terlibat dalam Jelajah Mega Madani Negeri Selangor yang diadakan di Dataran Kemerdekaan di sini pada Sabtu seperti tular di media sosial.
Ketua Komunikasi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, poster tular di media sosial memaparkan kononnya gambar pemimpin UMNO bersama Pakatan Harapan (PH) hadir ke majlis itu tidak benar.
"Kita belum melancarkan jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan (peringkat negeri Selangor) dan gambar dalam poster melibatkan PM (Perdana Menteri) bersama TPM (Timbalan Perdana Menteri), MB (Menteri Besar Selangor) dan (Pengerusi UMNO Selangor), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin dalam poster itu sengaja direka pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Jamal yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memberitahu, poster tersebar membabitkan BN tidak benar sebaliknya hanya melibatkan PH semata-mata.
"Apabila ceramah biasa, maka di mana-mana pun ada program ceramah termasuk di Sungai Besar, jadi kita (jentera BN) tidaklah turun," ujarnya.
Sehubungan itu, katanya, penyebaran poster itu disifatkan sebagai propaganda berniat jahat pihak yang tidak senang dengan kerjasama dijalin antara BN dan PH.
"Jika ada program pelancaran jentera (BN dan PH), sudah tentu kita hantar jentera, malah pada Isnin depan baharu ada perbincangan antara komponen BN.
"PH juga mungkin berbincang minggu ini dan setelah dua pihak berbincang barulah ada program di peringkat negeri," jelasnya.
Sementara itu, Sinar Harian difahamkan hanya Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Selangor diadakan pada malam ini dan media turut diundang untuk menghadiri pelancaran jentera itu yang dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada jam 8 malam.