JOHOR BAHRU - Pelaksanaan pakej Tuisyen Rahmah dijangka memberi manfaat kepada ribuan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara terutama mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelancaran pakej di bawah inisiatif Payung Rahmah itu bertujuan membantu kumpulan miskin tegar dan golongan kurang berkemampuan mendapatkan pendidikan tambahan.
"Pakej ini menyasarkan murid sekolah bermula dari Darjah Empat sehingga Tingkatan Lima dengan penyediaan lebih 3,000 video tutorial berdasarkan sukatan kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.
"Pakej itu turut melibatkan harga diskaun bermula serendah RM5 sebulan kepada murid Darjah Empat sehingga RM22 sebulan buat pelajar Tingkatan Empat dan Lima mengikut subjek masing-masing," katanya.
Salahuddin berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan dan Pelancaran ITTV e-Learning Rahmah di Kempas, pada Sabtu.
Pakej Rahmah ITTV e-Learning yang turut melibatkan pakej Tuisyen Rahmah itu merupakan pakej perintis di negara ini dalam sektor pembelajaran dalam talian atau e-Learning sejak 2008 lalu.
Sementara itu, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah adalah manifestasi keprihatinan dan kasih sayang Kerajaan Perpaduan kepada rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapat rendah dengan kerjasama rakanRrakan strategik yang terlibat.
"Oleh itu, KPDN berharap usaha ini mampu menarik perhatian orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan atau perkhidmatan ditawarkan dengan harga yang murah, berpatutan dan berkualiti seiring dengan produk yang ditawarkan," katanya.