KEPALA BATAS - Prestasi pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang baik dalam tempoh tujuh bulan dilihat mampu memberi keyakinan kepada pengundi terhadap parti-parti kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanapun, Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, kerja keras semua jentera amat diperlukan bagi memastikan kemenangan dapat dikekalkan di kerusi-kerusi sedia ada selain memenangi hati pengundi di kawasan yang tidak menang pada Pilihanraya Umum ke-15 lalu.
"Namun kita mesti lagi perlu bekerja keras untuk memenangi semula maknanya kerusi-kerusi yang kita lihat bukan kalah tapi tak cukup menang,"katanya ketika ditemui media selepas melancarkan jentera pilihanraya PKR bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pinang Tunggal di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal yang juga Ketua Cabang PKR Kepala Batas, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, beliau yakin dengan kekuatan jentera parti yang ada pada masa ini apatah lagi kini telah bergabung bersama dengan rakan-rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi PRN nanti.
Selain itu, Fadhlina berkata, aura positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi salah satu kekuatan dalam menawan hati pengundi.
"Kita mengharapkan mandat rakyat dikembalikan kepada kita untuk memperkukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan ini.
"Kita perlukan mandat rakyat untuk menstabilkan negara khususnya meningkatkan ekonomi dan sosio ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.