Kerajaan kaji lokasi bangun stesen minyak tanpa subsidi di JB

Iklan
Salahuddin - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Kerajaan sedang mengkaji lokasi sesuai bagi membangunkan stesen minyak tanpa subsidi di daerah ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kajian terperinci perlu dibuat oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), memandangkan Johor bersempadan dengan Singapura dan banyak kenderaan dari republik itu mengisi petrol di bandar raya ini.

Iklan
Iklan

"Menerusi projek rintis di dua stesen minyak tanpa subsidi yang dibuka di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis, ia dapat menjimatkan hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan.

"Di Johor Bahru ini, kita sedang buat kajian terperinci kalau ada tempat sesuai, kita akan buka untuk mengelakkan atau meminimumkan aktiviti pembelian minyak bersubsidi (oleh kenderaan asing)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran iTTV e-Learning Rahmah di Kempas di sini hari ini.

Iklan

Pada 18 Mei lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata, KPDN kini di peringkat akhir untuk memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi di beberapa negeri lain selepas projek rintis dilaksanakan di Perlis.

Ahmad Zahid dipetik berkata, KPDN sedang peringkat akhir memuktamadkan pelaksanaan stesen minyak tanpa subsidi terutamanya di Kelantan dan akan disusuli dengan Kedah, Perak, Sarawak, Sabah dan Johor.

Iklan

Sementara itu, Salahuddin turut mengingatkan bahawa kenderaan berpendaftaran asing tidak dibenarkan mengisi petrol bersubsidi RON95 termasuklah mengisikannya ke dalam tong untuk kegunaan kenderaan lain kerana subsidi petrol hanya diberikan kepada rakyat Malaysia.

"Berhubung kes tular melibatkan warga Singapura mahu membeli bahan api itu, bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dia tidak sempat membelinya. Alasan diberi iaitu untuk kegunaan go-kart... saya sedang menunggu laporan daripada KPDN Johor, jika pemilik stesen melakukan kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut undang-undang," katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dilapor berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung kes pertengkaran mulut melibatkan seorang penghantar makanan dan dua lelaki warga asing di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri, pada 16 Jun lepas.

Mengenai iTTV e-Learning Rahmah, Salahuddin berkata, pelaksanaan Pakej Tuisyen Rahmah itu dapat memanfaatkan ribuan pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan.

Beliau berkata, pelaksanaan pakej tersebut bertujuan membantu kumpulan miskin tegar dan golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan pendidikan tambahan demi masa depan mereka.

"Pakej ini menyasarkan murid daripada darjah empat hingga pelajar tingkatan lima dengan penyediaan lebih 3,000 video tutorial berdasarkan sukatan kurikulum Kementerian Pendidikan," katanya sambil menambah pelancaran pakej itu turut membuktikan inisiatif Payung Rahmah masih diterima rakyat Malaysia. - Bernama