PENGENDALI skuad hoki negara, Arul Selvaraj tetap memuji persembahan para pemain Malaysian Tigers walaupun tewas tipis 2-3 kepada Korea Selatan dalam siri jelajah persahabatan di Pusat Latihan Nasional Jingcheon, Incheon.
Malah Arul turut memuji dua pertahanan muda Muhammad Syafiq Hassan dan Muhajir Abdu Rauf dalam perlawanan kedua tersebut.
"Sejujurnya secara keseluruhan dalam perlawanan ini, para pemain telah mempamerkan prestasi individu yang baik.
"Biarpun kami guna struktur baharu, namun nampak para pemain matang dan selesa menterjemahkan taktikal pasukan.
"Kami akan berehat dan buat persediaan malam esok untuk perlawanan seterusnya pada 25 Jun ini," katanya.
Siri jelajah persahabatan yang menyingkap tirai Rabu sehingga 28 Jun menjadi medan persediaan Malaysian Tigers menjelang kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia di Chennai, India dari 3 hingga 12 Ogos depan.
Terdahulu dalam perlawanan itu, penyerang sensasi negara, Faizal Saari meletakkan pasukan negara di depan menerusi jaringan padang seawal minit kelima.
Malaysian Tigers kemudian melebarkan jaringan pada minit ke-12 hasil jaringan gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal.
Namun Korea Selatan yang mengikat Malaysia 2-2 sebelum ini bangkit dengan tiga gol bermula gol padang minit ke-45, diikuti dua gol padang (m-46, m-54) untuk keputusan 3-2 memihak tuan rumah.