SHAH ALAM - Pelawak kontroversi, Jocelyn Chia sekali lagi menjadi bahan amarah rakyat Malaysia apabila dikatakan bakal mengadakan persembahan ‘Jelajah Minta Maaf’ di Live House Kuala Lumpur pada 26 Ogos ini.
Jocelyn akan menyertai rakan senegara iaitu Chrissie Mayr dari Amerika Syarikat untuk membuat persembahan.
Sebaik sahaja poster mengenai jelajah itu dimuat naik di media sosial, ramai netizen mula membantah secara terbuka dan Instagram Chrissie juga ‘diserang’.
Menyedari perkara itu, Chrissie bagaikan tidak terkesan dan masih lagi mempromosikan jelajah berkenaan di media sosialnya.
"Terima kasih kepada semua perhatian Jocelyn Chia dan saya dapat daripada rakyat Malaysia.
"Kami teruja untuk mengumumkan bahawa kami akan melawat Malaysia! Tiket boleh didapati sekarang,” katanya.
Pengguna Instagram, Laila Lokman dalam komennya menyatakan Malaysia tidak memerlukan permohonan maaf daripada pelawak berkenaan.
"Permohonan maaf anda murah. Kami bangga menjadi rakyat Malaysia,” katanya.
Asnida Othman pula meminta pihak berkuasa menyekat kedua-duanya daripada masuk ke Malaysia.
"Tolong banned, jangan bagi masuk Malaysia,” katanya.
Sementara Maljvmua pula mengingatkan agar mereka tidak sesekali masuk ke negara ini.
"Jangan berani datang ke Malaysia. Telur nunggu kome (tunggu anda),” katanya.