KUALA LUMPUR City FC (KL City) menjangkakan tentangan sengit Terengganu FC (TFC) apabila kedua-dua pasukan beradu kekuatan dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Ahad.
Pengendali KL City, Bojan Hodak mengakui skuad Penyu kendalian pengendali dari Croatia, Tomislav Steinbruckner telah menunjukkan kemajuan ketara dalam saingan Liga Super sejak kebelakangan ini.
"Ya...kami pernah berdepan Terengganu pada pusingan pertama Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebelum ini yang berakhir dengan keputusan seri.
"Saya akui Terengganu memiliki rekod yang cukup baik apabila beraksi di laman sendiri musim ini. Sokongan padu penyokong mereka juga merupakan cabaran tambahan kepada kami nanti.
"Terengganu pasti akan menggunakan kelebihan bermain di laman sendiri untuk melangkah ke final kali kedua berturut-turut,” katanya.
Skuad The City Boys melalui detik yang agak cemerlang sejak dua tahun lalu apabila menjuarai Piala Malaysia pada 2021 sebelum muncul naib juara Piala AFC musim lalu.
Mereka kini hanya tinggal selangkah untuk ke pentas final, sekali gus mengintai peluang muncul juara buat kali keempat selepas menjulang Piala FA pada musim 1993, 1994 dan 1999.
Dalam pada itu, Hodak menyandarkan harapan kepada kapten, Paulo Josue bagi memimpin KL City selepas dia beraksi cemerlang bersama skuad Harimau Malaya baru-baru.
"Sebelum ini terdapat segelintir pihak mempertikaikan pemberian status naturalisasi kepada Josue, namun dia berjaya membalas semula kepercayaan dengan persembahan cemerlang.
"Josue sudah bermain di Malaysia lebih enam tahun dan apabila dia berjaya menjaringkan empat gol ketika menyarung jersi Harimau Malaya, itu satu bonus kepadanya.
"Apa yang saya harapkan, dia mengekalkan prestasi cemerlang itu bersama-sama KL City dalam menjadi key player apabila berdepan Terengganu nanti,” jelasnya.