Lelaki melecur rumah sewa terbakar

Iklan
Anggota bomba dan penyelamat sedang memadamkan kebakaran di sebuah rumah di Jalan Rebung Bukit Kapar pada Ahad.

KLANG - Seorang lelaki melecur manakala seorang lagi terselamat dalam insiden kebakaran di sebuah rumah sewa di Jalan Rebung Bukit Kapar di sini pada Ahad.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.21 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapar, BBP Sungai Pinang dan BBP Kota Raja dikejarkan di lokasi kejadian.

"Semasa kejadian terdapat dua lelaki di rumah tersebut telah menyelamatkan diri, sebelum pihak bomba dan penyelamat tiba di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurutnya, seorang lelaki berusia 38 tahun mengalami melecur 45 peratus di bahagian badan dan kakinya telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.

"Seorang mangsa lagi berusia 24 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya.

Iklan

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.40 pagi dan api berjaya dipadamkan enam minit kemudian.

"Anggaran kemusnahan 60 peratus, kerja-kerja 'overhaul' sedang dilakukan oleh pihak Bomba dan Penyelamat, punca kejadian masih dalam siasatan," katanya.