BINTANG sensasi, Lionel Messi mendedahkan kesukarannya dan keluarga untuk menyesuaikan diri setelah berkelana ke Paris Saint-Germain (PSG) pada 2021.
Kapten Argentina itu mendakwa menjadi mangsa cemuhan dalam kalangan penyokong lebih-lebih lagi ketika penghujung musimnya bersama PSG.
Situasi sama turut dialami rakan sepasukan, Kylian Mbappe dan Neymar.
"Hidup saya di Paris bermula dengan proses menyesuaikan diri yang amat sukar. Lebih daripada yang saya jangkakan.
"Sukar untuk sesuaikan diri dengan perubahan itu. Lewat tiba, tidak ada pra-musim, menyesuaikan diri dengan kelab baharu, corak permainan baharu, rakan sepasukan baharu dan kota itu.
"Ia tidak mudah bagi saya dan keluarga,” ujar Messi.
Pemain berusia 36 tahun itu tidak memperbaharui kontraknya bulan ini selepas dua tahun dan pada 7 Jun lalu mengumumkan dia akan menyertai kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami.
Biarpun menyumbat 32 jaringan dan melakukan 35 umpanan gol sepanjang dua musimnya bersama juara Perancis itu, dia tetap menjadi sasaran kritikan penyokong kerana gagal membantu PSG melepasi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara.
"Sambutan ketibaan saya sangat bagus. Sebahagian penyokong melayan saya dengan cara berbeza.
"Hubungan tegang dengan sebahagian besar peminat Paris. Saya
tidak berniat begitu, tetapi ia tetap berlaku. Ia juga berlaku kepada Mbappe dan Neymar. Mungkin itu cara mereka.
"Saya akan kenang semua yang menghormati saya. Saya hormat semua orang sejak tiba di Paris,” kata Messi.