PEMAIN sensasi, Martin Odegaard mengakui masih sukar untuk menerima kegagalan Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim lalu.
The Gunners yang dibimbing Mikel Arteta mendominasi sebahagian besar saingan dan dilihat berpeluang cerah menamatkan kemarau kejuaraan dalam tempoh 19 tahun.
Bagaimanapun, prestasi Arsenal hambar pada minggu terakhir apabila mereka hanya memenangi tiga daripada sembilan perlawanan terakhir.
Situasi itu membuka ruang buat Manchester City memintas dan merangkul kejuaraan liga kali ketiga berturut-turut.
Kegagalan tersebut dilihat menghantui Odegaard yang masih belum memahami apa yang berlaku, lapor Viaplay.
"Sukar, ada banyak perkara yang menjadi puncanya,” ujar kapten Arsenal itu mengulas kemerosotan The Gunners pada akhir musim.
Odegaard menjelaskan saingan pada penghujung musim amat sengit terutama ketika Arsenal seri dalam tiga perlawanan dan rakan sepasukan hilang momentum.
"Terdapat banyak perkara yang menjejaskan permainan pasukan. Kami hampir memenanginya.
"Saya rasa ia akan mengganggu sepanjang hidup. Kami sangat hampir dengan kejuaraan. Saya hampir berjaya mencapai impian.
"Ia pasti akan menghantui sepanjang hidup saya, tetapi kami perlu mencuba lagi tahun depan,” katanya yang meledak 15 gol buat The Gunners.