'Naufal dengar nama dipanggil, minum air parit tiga hari' - Bapa

Iklan
Laporan Sinar Harian pada 23 Jun lalu.

IPOH - Pelajar tahfiz yang ditemukan semalam selepas tiga hari dilaporkan hilang di kawasan kebun getah di Kampung Tanjong Sejarah, Kampung Tawai, Gerik mendakwa terdengar suara orang memanggil namanya, namun tidak nampak sesiapa.

Berdasarkan kisah yang diceritakan Muhammad Naufal Adzimi, bapanya, Mohd Harriz Muhamed, 46, berkata, anaknya yang berusia 17 tahun itu berada di kawasan sekitar tetapi tidak berupaya untuk menjumpai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang kehilangannya.

Iklan
Iklan

Mohd Harriz berkata, ketika kejadian, anak kedua daripada lima beradik itu keluar dari rumah pada awal pagi untuk menunaikan solat subuh di Masjid Jamek Gerik sebelum hilang dan tidak pulang.

Iklan

Beliau berkata, anaknya memberitahu ketika menunggang motosikal seorang diri, tiba-tiba dia hilang kawalan sebelum tidak sedarkan diri.

Mohd Harriz berkata, usaha pencarian Muhammad Naufal Adzimi hanya menemukan motosikal ditungganginya di kawasan kebun berkenaan sebelum beliau melaporkan kehilangan anaknya itu kepada pihak polis.

Iklan

Menurutnya, Muhammad Naufal Adzimi yang mengalami beberapa kesan calar pada muka dan badannya kini masih menerima rawatan di Hospital Gerik dan berada dalam keadaan stabil.

Semalam, pasukan SAR melaungkan azan sebelum menemukan pelajar yang dikatakan mengalami kecelaruan minda itu dalam keadaan selamat pada jam 10.49 pagi kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikal yang ditinggalkan mangsa ditemukan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad dilaporkan berkata, lokasi berkenaan sebelum ini telah dibuat pencarian, namun kemungkinan situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak dijumpai sebelum ini.

Terdahulu, operasi hari keempat diteruskan semalam dengan kekuatan anggota 94 orang termasuk polis, unit K9 bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam. - Bernama