'Jangan segan, ambil jika memerlukan'

Iklan
Barangan makanan yang diberikan secara percuma oleh pemilik kedai emas di sini kepada golongan asnaf bagi meringankan beban ekoran peningkatan kos sara hidup ketika ini.

KOTA BHARU - Beras, teh, milo, tepung gandum, minyak masak dan banyak lagi makanan keperluan secara percuma diberikan pemilik kedai emas di sini kepada golongan asnaf bagi meringankan beban ekoran peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Murtadhatumizi Mustapha, 28, berkata, keperluan asas tersebut boleh didapati di kesemua cawangan Mz Gold Sdn Bhd di Kota Bharu, Kuala Krai, Kuantan (Pahang), Jerteh (Terengganu), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Bandar Baru Perda (Pulau Pinang).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, peningkatan kos sara hidup ketika ini memberi ilham kepadanya untuk mewujudkan 'food bank' yang menelan belanja permulaan sekitar RM50,000.

"Ini merupakan salah satu bentuk perkongsian rezeki pihak kami. Saya akui peningkatan kos sara hidup ketika ini amat membebankan khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

Iklan

Menurut Murtadhatumizi, setiap hari bekalan itu akan ditambah dan diperiksa bagi memastikan ia sentiasa mencukupi bagi menampung permintaan golongan kurang berkemampuan.

Beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pelanggan yang menyokong perniagaannya.

Iklan

Ujarnya, hasil keuntungan yang diperoleh dapat disalurkan untuk kerja-kerja kebajikan.

"Sebelum ini kita turut turun padang masuk kampung untuk membantu golongan yang memerlukan.

"Besar harapan saya, supaya pada masa hadapan kami dapat menambahkan lagi peruntukan bagi membantu asnaf," katanya.