Kedah ditadbir kerajaan interim bermula Rabu

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Kedah akan diurus tadbir oleh kerajaan interim sebaik pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat pada Rabu ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua urusan pentadbiran akan diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali.

Iklan
Iklan

Menurutnya, fungsi kerajaan negeri akan diteruskan seperti biasa sehingga kerajaan negeri yang baharu dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Saya telah dapatkan garis panduan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri mengenai fungsi dan tanggungjawab yang akan dilaksanakan oleh kerajaan interim.

Iklan

"Secara umumnya perjalanan pentadbiran berjalan seperti biasa. Masih ada mesyuarat Exco untuk meluluskan perkara-perkara penting namun sebarang kelulusan baharu melibatkan dasar atau kewangan yang tidak diluluskan dalam Belanjawan tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi mohon perkenan pembubaran DUN Kedah ke 14, di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Iklan

Muhammad Sanusi berkata, pelaksanaan kerja-kerja rutin melibatkan perkara-perkara yang telah diluluskan sebelum ini diteruskan, sama ada kelulusan dalam DUN atau kelulusan mesyuarat Exco sebelum ini.

"Secara umumnya tak ada apa sangat yang berubah. Hanya dasar-dasar baharu kita tidak akan buat. Seterusnya Speaker DUN akan maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai pembubaran ini,” jelasnya.

Menurutnya, Sultan Sallehuddin turut mengingatkan semua pihak agar setiap keputusan yang dibuat hendaklah berpandukan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Kedah sepanjang tempoh kerajaan interim.

"Meskipun ketika berlaku perubahan kepimpinan dan saya diberikan tanggungjawab mengemudi kerajaan negeri bermula 17 Mei 2020 dalam keadaan negara dilanda Covid-19, ujian itu dapat kita tangani bersama,” katanya.

"Kita juga diuji dua bencana alam, kejadian kepala air di daerah Yan dan Kuala Muda selain banjir aliran puing di Kampung Iboi, Baling yang dapat ditangani dengan baik.

"Kelancaran menghadapi ujian-ujian ini mungkin tidak dicapai jika bukan kerana keprihatinan Tuanku Sultan, Tuanku Sultanah dan Tuanku Raja Muda yang sering memberi nasihat serta peringatan kepada saya untuk memastikan kehidupan rakyat diberikan keutamaan,” jelasnya.

Muhammad Sanusi turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan kepada barisan pentadbiran negeri atas kerjasama diberikan sepanjang beliau menjawat jawatan Menteri Besar.

"Terima kasih kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), ADUN penyokong kerajaan serta komitmen tinggi jentera pentadbiran negeri yang menjadi pasukan pentadbiran mantap dan cemerlang.

"Saya juga mendapat kerjasama baik daripada agensi-agensi Kerajaan Persekutuan di negeri ini, selain pembangkang yang telah melengkapkan konsep demokrasi berparlimen dalam pemerintahan negeri ini,” ujarnya.

Muhammad Sanusi turut menghargai komitmen rakyat negeri ini yang telah menyokong kerajaan negeri pimpinannya sehingga berlakunya pembubaran DUN Kedah.

DUN Kedah dibubarkan pada Rabu, lebih awal berbanding tempoh mandat lima tahun yang sepatutnya berakhir pada 4 Julai ini.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhammad Sanusi menguasai 20 kerusi (Pas 14, Bersatu 6) diikuti Pakatan Harapan (PH) memiliki 10 kerusi (PKR 5, Amanah 3, DAP 2). Barisan Nasional dan Pejuang masing-masing dua kerusi.

Dua lagi kerusi diumumkan kosong selepas ADUN Gurun (PKR), Datuk Johari Abdul mengosongkan kerusinya pada 18 Disember tahun lalu, sebelum dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Sementara ADUN Belantek dari Pas, Datuk Mohd Isa Shafie meninggal dunia pada 14 Jun lalu.