Mustapa tinggalkan pertikaian tidak produktif

Iklan
Mustapa

SELAMA lebih tiga dekad berkecimpung dalam arena politik, Datuk Seri Mustapa Mohamed dianggap antara nama besar dalam kancah politik tanah air. Tutur katanya yang lembut, bersahaja dan berhati-hati namun pengaruhnya cukup hebat, baik di negeri kelahirannya Kelantan, mahupun di peringkat nasional.

Beliau terlibat selama lebih 20 tahun dalam pentadbiran kerajaan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan, Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Kewangan Kedua serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kerajaan BN. Pengalaman anak jati Bachok ini pasti didambakan dalam era Malaysia Baharu.

Iklan
Iklan

Ikuti wawancara eksklusif wartawan SINAR HARIAN, MOHD FAZLI ZAINUL ABIDIN dan RIDAUDDIN DAUD bersama Ahli Parlimen Jeli itu yang berkongsi pandangan beliau dalam berhadapan dengan pentadbiran baharu Malaysia sejak 9 Mei 2018.

Mustapa, 69, kini ialah Ahli Parlimen PH selepas memilih untuk meninggal UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 26 Oktober lalu.

Iklan

Apakah peranan Datuk Seri sebagai Ahli Parlimen backbencher mewakili Bersatu?

Saya seringkali mengadakan pertemuan dengan pertubuhan bukan kerajaan, ahli-ahli ekonomi, tokoh-tokoh korporat, orang pencen dan kedutaan asing.

Iklan

Melalui pertemuan ini saya mendapat maklumat mengenai isu-isu ekonomi dan politik semasa yang dapat membantu saya dalam menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dan mengutarakan pandangan mereka di Dewan Rakyat khususnya melibatkan isu-isu ekonomi.​

Apakah kumpulan-kumpulan yang sering Datuk Seri dekati?

Sebulan sekali saya pengerusikan pertemuan dalam kalangan tokoh korporat, ahli ekonomi, ahli akademik dan pesara kerajaan untuk membincangkan isu-isu ekonomi semasa. Urusetia untuk kumpulan ini ialah Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Kami bincang secara terbuka keadaan ekonomi semasa dan cadangan untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Malaysia ialah sebuah negara yang mempunyai potensi menjadi Harimau Asia dan adalah penting untuk pastikan ekonomi negara terus kompetitif.

Ramai berpendapat bahawa usaha mengukuhkan ekonomi hendaklah diberi keutamaan tertinggi dan kerajaan perlu terus mendapat maklum balas daripada sektor swasta dan pemegang taruh yang lain untuk memastikan kita dapat menangani isu dan cabaran dengan lebih berkesan.

Kami berpendapat adalah perlu dikenal pasti tokoh-tokoh yang berwibawa untuk champion sektor tertentu seperti pelancongan, pelaburan dan perdagangan, perusahaan kecil dan sederhana dan ekonomi digital.

Keyakinan pelabur dan pengguna perlu dimantapkan agar ekonomi negara mampu mengharungi cabaran ekonomi dunia yang dijangka kurang menggalakkan tahun ini.

Saya juga diminta oleh Persekutuan Pengilang Malaysia untuk menjadi ahli lembaga penasihatnya dan membantu Biro Ekonomi Bersatu.

Dalam masa sama juga, saya mengadakan pertemuan dengan usahawan Bumiputera dan persatuan-persatuan perniagaan Bumiputera.

Semasa berjumpa, mereka mohon agar kontrak-kontrak tertentu dikhususkan untuk tender terhad dalam kalangan kontraktor Bumiputera sahaja.

Pandangan ini hendaklah diberi perhatian serius oleh kerajaan.Saya juga diberikan peranan untuk mereformasi Parlimen dan memberikan peranan lebih besar kepada Ahli Parlimen dalam menggubal dasar. Kerajaan telah menubuhkan beberapa Jawatankuasa Pilihan Parlimen (Select Committee), salah satu daripadanya ialah Jawatankuasa Pilihan mengenai Bajet yang saya pengerusikan.

Apakah peranan Jawatankuasa Pilihan Parlimen ​mengenai Bajet?

Jawatankuasa ini dianggotai tujuh Ahli Parlimen termasuk wakil daripada pembangkang.

Ia adalah antara reformasi kerajaan PH membolehkan Ahli Parlimen memainkan peranan lebih aktif dalam menggubal dasar negara dan memantau pelaksanaannya.

Kalau sebelum ini banyak dasar negara digubal Kabinet dan kerajaan, tetapi kali ini Ahli Parlimen diberi peranan memberi input kepada kerajaan.

Setakat ini, dua perkara telah dibincangkan Jawatankuasa Pilihan Bajet. Pertama ialah kedudukan ekonomi dan kewangan semasa serta unjuran kedudukan ekonomi tahun ini yang mana taklimat telah diberikan oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kedua, masalah hutang negara khususnya apa yang dimaksudkan dengan hutang negara dan jumlah sebenar hutang tersebut. ​

Dalam Dewan Rakyat isu ini hangat dibahaskan, sering kali kita pertikai dalam kalangan Ahli Parlimen berkenaan jumlah hutang negara sama ada, ia melebihi RM1 trilion atau sebaliknya.

Saya berpendapat pertikaian yang seakan-akan tiada penghujungnya ini adalah tidak produktif dan menjejaskan fokus kita untuk menangani cabaran-cabaran ekonomi lain dalam suasana yang kian rencam dan mencabar.

​Justeru, dalam soal ini, pihak Jawatankuasa Pilihan Bajet bercadang untuk membentangkan satu laporan mengenai hutang negara kepada Parlimen supaya kontroversi mengenai hal ini dapat diredakan.

Jawatankuasa Pilihan Bajet juga bercadang untuk bertemu dengan tokoh-tokoh korporat dan ahli-ahli ekonomi untuk mendapat cadangan mereka tentang usaha-usaha untuk mengukuhkan ekonomi negara.

Bermula hujung Mei ini, jawatankuasa bercadang mengadakan pertemuan dengan beberapa pemegang taruh dan pihak-pihak berkenaan bagi mendapat input untuk Belanjawan 2020 supaya dapat meletakkan Malaysia di atas asas yang kukuh.

Mustapa dalam satu pertemuan dengan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin (kiri), Pengarang Eksekutif, Azmi Tarmizi (dua dari kanan) dan Mohd Fazli di Kuala Lumpur baru-baru ini.

​Pada pandangan Datuk Seri, apakah antara cabaran-cabaran utama yang dihadapi oleh ekonomi negara?​

Malaysia adalah sebuah negara ekonomi terbuka di mana perdagangan, pelaburan, pelancongan dan modal asing memainkan peranan penting dalam ekonomi kita.

Apa yang berlaku di luar negara khususnya negara-negara kuasa ekonomi seperti Amerika Syarikat, China, Eropah dan ASEAN memberi kesan kepada ekonomi negara.

​Christine Lagarde, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini bahawa pertumbuhan ekonomi global telah hilang momentum sejak Januari 2019 dan sekali gus meletakkan kedudukan ekonomi global dalam keadaan yang tidak menentu. ​

Ahli-ahli ekonomi sepakat bahawa pertumbuhan ekonomi di Amerika Syarikat, China dan Eropah akan perlahan sedikit pada tahun 2019.

Jika ramalan ini menjadi kenyataan, ekonomi Malaysia juga akan menghadapi cabaran dari segi kadar pertumbuhan, harga komoditi, kutipan hasil dan peluang pekerjaan. ​

Realitinya ialah kerajaan masih menjadi salah satu penggerak utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Perbelanjaan kerajaan untuk membayar gaji kakitangannya, perbelanjaan untuk projek-projek pembangunan, program seperti kursus, seminar, projek-projek kecil dan lain-lain memberi impak kepada ekonomi negara.

Apabila perbelanjaan kerajaan menguncup, ia akan memberi kesan kepada pelbagai pihak. ​

Jika kontraktor G1 (dulunya kelas F) kurang kerja, kedudukan ekonomi pemilik syarikat yang terkesan.

Kedai-kedai hardware yang menjual bahan binaan juga terjejas. Bilangan tenaga kerja yang digunakan oleh kontraktor G1 berkurangan. Jika agensi-agensi kerajaan mengurangkan kursus atau program, perniagaan pembekal makanan yang tergolong dalam perusahaan kecil dan sederhana akan terjejas. ​

Pada pandangan saya, antara cabaran utama adalah bagaimana hendak menguruskan hutang negara secara optimum, nisbah hutang negara berbanding KDNK yang perlu dikawal dan pengurusan defisit dalam Belanjawan sebanyak 3.4 peratus tahun ini.

Kedudukan kewangan semasa ini telah memaksa kerajaan untuk mengawal perbelanjaan dan ada juga perbelanjaan yang telah dikurangkan.

​Dalam jangka sederhana dan jangka panjang, defisit dalam belanjawan perlu dikurangkan kepada kadar yang lebih rendah, atau lebih baik lagi, jika kita ada lebihan dalam akaun Kerajaan.

Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh kerajaan akan mampu merancakkan ekonomi negara.

Yang terbaik ialah kita ada rizab atau lebihan dalam belanjawan bagi menangani sebarang risiko atau kemungkinan luar jangka seperti banjir atau keadaan ekonomi dunia yang tidak menggalakkan.

Kita juga perlu kedudukan kewangan lebih kukuh untuk menyelenggara aset kerajaan seperti bangunan, rumah kediaman kakitangan, jalan raya, menyelenggara dan menggantikan aset-aset sektor keselamatan, termasuk tentera dan polis. ​

Pertumbuhan sektor swasta termasuk sektor pembuatan dan pelancongan perlu dirancakkan bagi mengimbangi perbelanjaan kerajaan yang dikawal setahun dua ini.

Ini adalah bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti untuk anak muda lepasan sekolah atau yang keluar universiti dan kolej.

Untuk ini kerajaan berperanan melaksanakan dasar yang mesra pelabur dan bantu selesai atau kurangkan masalah yang dihadapi mereka serta lebih agresif mempromosikan pelaburan, perdagangan dan pelancongan.

​Satu lagi cabaran ialah menangani masalah-masalah yang dihadapi oleh beberapa institusi seperti Tabung Haji dan Felda.

Tindakan perlu diambil oleh kerajaan untuk mengukuhkan tadbir urus kedua-dua institusi ini.

Kerajaan telah menyuntik dana yang besar bagi memulihkan dua agensi yang penting ini. Tindakan ini amat dialu-alukan.

Dengan langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan, kedua-dua agensi ini akan kembali kepada objektif asal penubuhannya.

Apakah pandangan Datuk Seri mengenai ekonomi Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang?

Pertamanya, kita perlu beri keutamaan kepada penyelesaian isu-isu ekonomi khususnya di akar umbi termasuk menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana.

Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi adalah tepat dan ia perlu bertindak cepat bagi memastikan pendekatan holistik untuk mengurangkan beban rakyat khususnya B40 dan mewujudkan peluang perniagaan dan peluang pekerjaan bagi anak-anak muda.

​Laporan Tahunan Bank Negara 2018 menunjukkan ekonomi negara akan terus berkembang tetapi pada kadar yang perlahan sedikit pada tahun ini. Inflasi terkawal dan kadar pengangguran tidak berubah.

Pada pandangan saya, kita perlu bersedia menghadapi keadaan yang mungkin lebih mencabar. Beberapa langkah yang diambil kerajaan mungkin tidak popular tetapi ia adalah penting bagi memastikan kelestarian ekonomi Malaysia dalam jangka panjang.

Pada satu hari nanti, perlu kita tingkatkan kutipan hasil dan capai bajet yang seimbang atau lebihan, supaya negara dapat menangani cabaran sekiranya keadaan ekonomi semakin tidak menentu.

Dalam suasana peluang mendapat pekerjaan dan peluang perniagaan yang mencabar kita perlu lebih agresif mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu dan mempertahankan peluang kerja yang sedia ada.

Selain daripada mengambil tindakan mengukuhkan kedudukan kewangan negara, strategi juga perlu dirangka untuk cuba mempertahankan pekerjaan yang ada dalam pelbagai sektor dan mewujudkan peluang pekerjaan yang baharu dan perniagaan baharu.

Ini adalah satu keutamaan dalam situasi ekonomi yang agak mencabar. ​

Malaysia pernah melalui beberapa cabaran ekonomi termasuklah semasa krisis kewangan Asia 1997 dan krisis kewangan global 2008 di mana kita berjaya menangani impaknya terhadap ekonomi negara. Pengalaman berdepan cabaran-cabaran ini, telah mematangkan kita.

Dengan gandingan dan kerjasama semua pihak, sektor awam dan swasta serta rakyat, kita mampu mendepani cabaran mendatang dengan jayanya. Kita bersyukur bahawa beberapa projek pembinaan akan dimulakan kembali khususnya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Bandar Malaysia.

Pelaksanaan projek ini, projek bawah RMK-11 serta projek kecil akan merancakkan sektor pembinaan.

Oleh kerana sektor pembinaan mempunyai rantaian dengan banyak sektor lain, tindakan ini mampu memberi kesan positif ekonomi negara.

Bagaimanakah Datuk Seri melihat Malaysia dalam tempoh setahun di bawah pentadbiran PH?

Ini adalah kali pertama ada perubahan dalam parti yang memerintah kerajaan dalam sejarah negara setelah lebih 60 tahun kita mengadakan pilihan raya.

Sudah pasti ada beberapa perkara yang mungkin mengambil masa untuk dilaksanakan.

Ada janji-janji yang telah dibuat dan setengahnya perlukan masa tapi yang pentingnya antara perkara yang telah berlaku ini ialah kita kena sesuaikan dengan keadaan semasa.

Saya ucap tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik.

Ini satu kejutan, seperti yang sedia maklum kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang, tak sangka; kerajaan tak sangka kalah dalam pilihan raya dan pembangkang tak sangka menang.

Sudah pasti sedikit masa diperlukan. Satu lagi adalah mengenai pentadbiran atau pegawai tadbir kita iaitu 1.6 juta pegawai kerajaan.

Yang paling penting pegawai kerajaan dapat menterjemahkan secara dasar visi kerajaan baharu ini menjadi program yang konkrit untuk memacu negara kita mencapai kejayaan yang lebih besar. Sudah pasti mereka juga akan menumpukan tentang pengubahsuaian.

Sebagai kerajaan yang begitu lama berkhidmat di bawah satu parti, tiba-tiba pegawai kerajaan perlu berkhidmat dengan satu parti yang baharu.

Seterusnya, dunia melihat Malaysia sebagai satu contoh. Di mana wujud satu transisi baharu dan lama.

Tidak banyak negara membangun yang mampu untuk pastikan bahawa proses peralihan berjalan dengan begitu baik.

Ada sesetengah negara berlaku perebutan kuasa, mungkin campur tangan, pasukan keselamatan memainkan peranan.

Kita bersyukurlah di sini peralihan berjalan dengan amat baik sekali dan Malaysia menjadi contoh kepada negara-negara lain khususnya negara membangun. Bagaimana di Malaysia proses peralihan boleh berlaku dalam suasana yang harmoni.

Dan kita berharap ini akan berkekalan pada masa-masa akan datang.

Apakah cabaran yang bakal dihadapi Malaysia dari segi politik dan ekonomi dalam tempoh lima tahun akan datang?

Pertama, dunia menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran politik, apa yang berlaku di Christchurch, New Zealand, apa berlaku di Sri Lanka, ini perkara yang begitu mencabar. Itu dari segi politik.

Dari segi ekonominya, keadaan pertumbuhan dunia rendah sedikit berbanding sebelum ini. Ada perang perdagangan antara China dengan Amerika Syarikat khususnya, pertikaian di Amerika dan Eropah juga mendominasi perdagangan dan landskap ekonomi.

Jadi apa yang berlaku hari ini adalah satu situasi yang perlu diuruskan sebaik mungkin. Itu sebabnya kita perlu bersabar, kerajaan perlu ada barisan yang mantap, pentadbir harus bekerja bersungguh-sungguh, institusi-institusi kerajaan, Ahli Parlimen perlu mainkan peranan yang penting.

Apabila sebut tentang Parlimen dalam tempoh lima tahun ini, Parlimen akan memainkan peranan yang begitu besar. Kalau dahulu hanya ahli Kabinet, kini Ahli Parlimen diberi ruang untuk menyumbang kepada negara. Kita dalam proses belajar... demokrasi akan subur.

Saya ingin demokrasi yang lebih matang, bermakna kita berhujah atas fakta dan penuh tanggungjawab kerana di mana jua kita berada kita ingin melihat negara kita ini hebat.

Apakah harapan Datuk Seri kepada rakyat Malaysia untuk tahun-tahun mendatang?

Pelbagai cabaran politik berlaku. Seluruh dunia menghadapi cabaran tetapi kalau kita bersatu sebagai sebuah negara, di mana jua kita berada, sama ada swasta ataupun kerajaan dan parti politik kita wakili, yang penting ialah kepentingan negara.

Jadi kalau kita letak kepentingan negara di atas segala-galanya, kita bekerja sebagai rakyat yang bersatu padu, sudah pasti kita akan dapat menghadapi cabaran ini secara bersama dengan jayanya.