SEREMBAN - Keadaan kesihatan penyanyi kumpulan The Real Spin, Khalis Shari yang tidak menentu sebelum ini menyebabkan lima anaknya tercicir dalam pendidikan sejak dua tahun lalu.
Malah dua daripadanya yang kini berusia 19 tahun tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), manakala dua lagi berusia 11 dan 14 tahun baharu sahaja kembali ke sekolah bulan lalu dan seorang lagi berusia 17 tahun memilih untuk tidak ke sekolah.
Menurut Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalis Md Shari, 35, sebagai bapa, dia sememangnya mengharapkan anak-anaknya menyambung pelajaran demi masa depan mereka, sekurang-kurangnya mempunyai sijil SPM.
Bagaimanapun katanya, semuanya terganggu selepas dia diuji dengan masalah kesihatan yang agak teruk pada tahun 2021.
"Waktu itu saya hanya terlantar di rumah akibat kencing manis dan anak-anaklah yang banyak membantu isteri menguruskan semuanya sehingga pelajaran mereka tercicir.
"Ia ditambah pula ketika itu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 yang menyebabkan sesi persekolahan tak berjalan seperti biasa dan mereka pun kerap tak datang sekolah sejak saya sakit," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Malah katanya, dia juga tidak mahu terlalu memberi tekanan kepada anak-anak dengan memaksa mereka ke sekolah selepas lebih setahun meninggalkannya.
Namun jelasnya, itu bukan bermakna dia tidak kisah dan risau soal pendidikan mereka.
Sementara itu anak keduanya, Siti Rusnaida Umierah Rusli, 19, berkata, dia tidak terfikir mahu mengambil semula SPM dan kini mahu terus bekerja bagi membantu keluarga.
"Sejak Tingkatan Empat, saya terus tak pergi sekolah dan cikgu pun tahu saya jaga ayah sakit. Jadi kalau nak suruh ambil peperiksaan SPM itu, sukar buat saya.
"Sekarang ini saya bantu emak buat rawatan bekam di rumah dan berniaga kecil-kecilan. Cumanya kalau ada yang tawarkan program kemahiran, saya boleh mempertimbangkannya," katanya ketika ditemui bersama Penaung Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS), Zulkifli Muhamed di Taman Seremban Jaya di sini pada Sabtu.
Bagaimanapun katanya, dia tidak mahu adik-adiknya mengikut jejak langkahnya tidak meneruskan persekolahan dan mahu mereka berjaya dalam pelajaran.
Sementara itu, Zulkifli berkata, maklumat berkenaan keciciran anak Khalis diperoleh selepas pihaknya mendapatkan maklumat lanjut soal pendidikan anak-anak ahli persatuan itu.
Katanya, ia susulan laporan Kementerian Pendidikan yang mengatakan hampir 30,000 direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM 2022.
"Keluarga Khalis ini merupakan ahli PCRS dan bila semakan dibuat kita dimaklumkan yang dua anaknya tidak ambil SPM 2021.
"Bagi saya ia bukan isu kecil tapi melibatkan generasi negara. Saya jangkakan ada lagi kes ini dan kita akan semak satu persatu selepas ini kerana jika dibiarkan ia akan merugikan negara," katanya.
Khalis dan isteri Zalina Azman, 42, membesarkan tujuh anak yang terdiri dua anak mereka, anak tiri (hasil perkahwinan terdahulu Zalina) dan dua anak saudara iaitu anak kakak ipar Khalis yang kematian suami.