BANGI - [DIKEMAS KINI] Program Rakan Muda yang diberi nafas baharu merupakan persiapan bagi melahirkan generasi dengan cita-cita murni dan nilai kemanusiaan tinggi bagi menjadikan Malaysia sebuah negara hebat di rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berucap pada majlis pelancaran Rakan Muda di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Ahad, beliau berkata, program itu juga dapat mempersiap generasi dengan nilai-nilai persaudaraan yang menolak elemen rasuah dan hipokrasi.
Perdana Menteri, yang membahasakan dirinya sebagai ‘Pakcik Anwar’ pada majlis itu, turut menggesa agar tiada pemikiran lapuk dan jumud dalam kalangan belia serta tiada unsur yang boleh memecah-belahkan perpaduan negara.
"...yang akan tentukan (masa depan negara) bukan orang-orang tua lapuk pemikiran yang nak pecah belahkan rakyat, yang akan tentukan masa depan untuk menyelamatkan bangsa dan negara ialah anak muda sendiri,” katanya.
Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.
Anwar turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MadaniI pimpinan beliau akan memberi apa sahaja sokongan yang diperlukan dalam pembangunan anak muda di negara ini.
"Kita ada pasukan di kementerian yang saya percaya boleh menjadi jurubicara anak-anak muda, program mereka, keprihatinan mereka termasuk penjawat awam, menjurus ke arah itu (menyokong pembangunan belia), kerajaan dengan falsafah Madani ini akan bantu apa juga.
"...yang saya minta, saudara peka dalam dunia mencabar ini, dalam dunia media sosial yang menggugat anak-anak dalam membuat pilihan baik kerana satu kesilapan oleh satu generasi akan menghukum negara ke lembah kehinaan," katanya.
Pendaftaran bagi menyertai Rakan Muda boleh dilakukan dengan menghubungi talian 03-8871 3724, melalui portal https://www.kbs.gov.my/rakanmuda.html atau e-mel kepada rakanmuda@kbs.gov.my.
Peserta Rakan Muda di bawah gaya hidup Rakan Prihatin, P Sathiyakumari, 32, berkata, dia menyertai program tersebut pada 2012 ketika belajar di Universiti Sains Malaysia dan sejak itu, terlibat dengan pelbagai bantuan kemasyarakatan di dalam dan luar negara.
"Saya terlibat dengan bantuan mangsa banjir dan misi kemanusiaan di Sri Lanka. Harapan saya untuk golongan muda di luar sana, jangan lupa sertai Rakan Muda sebab kita akan dapat pelbagai manfaat dan akan wujud sifat ihsan sesama manusia.
"Dengan penglibatan seseorang dalam Rakan Muda, saya percaya kita dapat meningkatkan jati diri dan lebih yakin terhadap diri sendiri," katanya yang kini berkhidmat sebagai juruhebah di Radio MINNALfm. - Bernama