KUANTAN - Seramai 1,553 usahawan di Pahang menerima manfaat daripada Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH) tahun ini.
Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Ir Razali Kassim berkata, jumlah itu meningkat 47 peratus berbanding 725 usahawan tahun lalu.
"Kita (Kerajaan Pahang) sediakan peruntukan RM15 juta sebagai salah satu cara membantu usahawan di negeri ini.
"Jadi, mereka boleh membuat permohonan I- PUSH dan kita akan mengenakan kadar bunga yang rendah dengan moratorium setahun selepas skim pembiayaan itu diluluskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas berakhirnya majlis penutupan karnival hari usahawan negeri Pahang sempena minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan Minggu Usahawan Negara (MUN) 2023 di Bazar Serambi Teruntum, di sini pada Ahad.
Hampir 130 reruai disediakan untuk pameran dan karnival jualan yang turut disertai negeri Terengganu dan Kelantan.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad berkata, minggu PMKS ini menawarkan platform untuk hebahan maklumat mengenai pembiayaan dan program pembangunan PMKS yang ditawarkan oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
Menurutnya, secara tidak langsung, penganjuran minggu PMKS ini dapat mengiktiraf peranan dan sumbangan PMKS kepada pembangunan ekonomi negara.
"Pada tahun lalu, PMKS telah mencatatkan sumbangan sebanyak RM518.1 bilion atau 37.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 7.32 juta orang", katanya ketika berucap pada majlis itu.