PRN: Hanya enam atau tujuh kerusi masih belum dimuktamadkan

Iklan
Fahmi ketika berucap pada program Jelajah MYTV di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi Lembah PantaiPada Ahad. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Hanya tinggal enam atau tujuh daripada keseluruhan sembilan kerusi yang masih dirundingkan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) belum dimuktamadkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, beliau percaya rundingan mengenai pertindihan kerusi itu akan dapat diselesaikan dengan cara baik dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, penyelesaian rundingan tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Pengerusi PH) dan pimpinan tertinggi dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada 18 Jun lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi telah selesai di peringkat Jawatankuasa Perundingan BN-PH, namun terdapat pertindihan di sembilan daripada sejumlah 245 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Iklan

Enam negeri yang akan berhadapan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, mengulas gesaan beberapa pihak agar bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua diambil tindakan berikutan kenyataannya yang melabelkan BN sebagai pakatan korup, Fahmi berkata, beliau percaya DAP akan meneliti perkara itu memandangkan parti berkenaan melihat serius tentang isu disiplin.

Iklan

"Kita serahkan kepada DAP untuk tentukan apa (bentuk) tindakan. Kita tidak jaga tepi kain parti lain ini, urusan parti masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi menyifatkan segala kritikan dan pandangan yang dikemukakan 'rakan-rakan’ dari parti komponen Kerajaan Perpaduan akhir-akhir ini sebagai pengajaran untuk mereka memantapkan usaha dan menyegerakan beberapa ikhtiar bagi membantu rakyat.

Beliau juga percaya perkara itu tidak akan mempengaruhi sentimen pengundi pada PRN akan datang kerana rakyat memahami usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan demi menjaga kesejahteraan mereka ketika pasca pandemik Covid-19.

Selain itu, beliau turut mengganggap ura-ura bahawa Pemuda MCA akan memboikot PRN 'sebagai asam garam dalam politik dan percaya ia dapat 'diredakan'’ selepas selesai agihan kerusi dilakukan.

Sebelum itu, Fahmi dalam ucapannya berharap program berkenaan dapat membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang tepat dan sahih kepada rakyat kerana pihak MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) akan memberikan dekoder percuma kepada isi rumah yang layak.

"Saya difahamkan program akan dijalankan ke seluruh negara dengan Parlimen Lembah Pantai adalah lapangan pertamanya. Melalui inisiatif ini, masyarakat akan mendapat siaran TV digital percuma yang menyiarkan kesemua saluran TV kerajaan dan swasta tanpa sebarang yuran bulanan,” katanya. - Bernama